KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia berdepan dengan risiko teknologi kuantum dan mengambil kesempatan terhadap potensi teknologi itu bagi mengukuhkan pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia kerana teknologi perkomputeran kuantum kini menjadi antara ancaman baharu kepada negara, termasuk sistem pertahanan negara yang berpotensi menyahsulit setiap maklumat termasuk data sensitif.
Beliau berkata, kerajaan dalam usaha menambah baik infrastruktur keselamatan siber Malaysia serta menggalakkan amalan terbaik dalam kalangan individu dan organisasi termasuk mengukuhkan daya tahan siber negara.
“Sistem perkomputeran kuantum adalah teknologi masa depan yang dijangka akan menggantikan teknologi komputer sedia ada dan mempunyai tahap kecerdasan lebih pantas serta mampu menyelesaikan masalah kompleks dengan lebih cekap,
“Kuasa pengkomputeran kuantum itu memberi impak kepada hampir setiap aspek atau lebih buruknya akan menjadi ‘senjata’ bermanfaat kepada negara yang mengamalkan teknologi baharu berkenaan, katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Siber Siaga 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah amat penting untuk mengiktiraf peranan sektor swasta dalam kemajuan dan aplikasi teknologi kuantum.
“Sektor swasta memainkan peranan sebagai peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan serta memacu inovasi yang akan membentuk landskap masa depan keupayaan kuantum,
“Kerjasama berkenaan dapat memastikan pembangunan teknologi kuantum sejajar dengan keutamaan keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya lagi.
Tahun ini merupakan siri ketiga penganjuran Siber Siaga sejak dilancarkan secara rasmi pada tahun 2022.
Program itu adalah sebahagian daripada usaha MINDEF untuk meningkatkan keselamatan siber dalam menghadapi ancaman keselamatan siber.
Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan sentiasa merancang pelan dan memastikan keselamatan ekosistem siber negara relevan malah mampu meramal sebarang ancaman yang mendatang.
“Kesan teknologi kuantum boleh menjadi transformasi seperti internet dengan potensi untuk meningkatkan pelbagai sektor,
“Untuk itu kita perlu bersedia menghadapi masa depan yang didayakan oleh kuantum dan mengurangkan risiko serangan siber,” jelanya lagi.
Dalam majlis yang sama, MINDEF telah menyerahkan memorandum persefahaman (MoU) dengan TM Technology Services Sdn.Bhd untuk meningkatkan keupayaan pertahanan dan kestabilan keselamatan dalam mendepani implikasi teknologi kuantum.
Kontrak bernilai RM 34,562,608 ini menyediakan infrastruktur rangkaian dengan dilengkapi kemudahan Pusat Operasi Keselamatan.-airtimes.my
#pertahanan #siber #airtimes #CyberDSA #BSEP #ATM #Malaysia