Home Pertahanan dan Keselamatan Punca kelewatan helikopter UH-60A Black Hawk akan dibangkitkan di Parlimen hari ini

Punca kelewatan helikopter UH-60A Black Hawk akan dibangkitkan di Parlimen hari ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 JUL – Isu kelewatan helikopter UH-60A Black Hawk sekali lagi dibangkitkan di Parlimen.

Kali ini, persoalan mengenai perolehan aset itu menjadi antara 10 soalan pertama bagi sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Persoalan yang dibangkitkan oleh wakil Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz merupakan giliran ke-8.

“Minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan apakah punca kegagalan Syarikat Aerotree Defence & Services gagal membekalkan pesawat helikopter jenis UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) mengikut waktu yang ditetapkan,

“Apakah tindakan susulan daripada pihak Kementerian Pertahanan bagi memastikan kepentingan TDM terpelihara,” kata bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

Sebelum ini, persoalan mengenai Black Hawk telah dibangkitkan dan dijawab secara penyataan jawapan lisan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 27 Jun lalu.

“Kementerian Pertahanan sedang mendapatkan pandangan serta nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung perkara ini,” katanya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) pada akhir Jun lalu.

Isu helikopter Black Hawk menjadi tumpuan umum selepas ia didedahkan kepada umum semenjak pertengahan 2024.

Sebelum ini, Air Times melaporkan hasrat Tentera Darat Malaysia yang akan mengusulkan pembatalan sewaan helikopter Black Hawk kepada Kementerian Pertahanan.

“Tentera Darat amat memerlukan keupayaan Black Hawk dan kontrak perolehan atau sewaan aset ini akan banyak membantu kita dalam tugas operasi dan latihan namun sehingga kini mereka masih gagal (penghantaran aset).

“Sekiranya pada Mei ini mereka masih gagal memenuhi obligasi ini maka TDM mengambil tindakan tegas iaitu mengusulkan kepada kementerian supaya kontrak sewaan Black Hawk ini dibatalkan, jadi kita boleh ambil langkah seterusnya ia keperluan mendesak dan kami tegas dengan keputusan kami,” katanya dalam satu sidang media pada Mei lalu.

Perkara yang dinyatakan oleh Muhammad Hafizuddeain pada ketika itu dibuat selepas Tentera Darat memberikan masa sehingga akhir April 2024 kepada kontraktor untuk memenuhi obligasi kontrak.

“Kita amat-amat berharap mereka dapat mengotakan janji kerana seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini tempoh penghantaran pun sudah terlewat, sepatutnya kita menerima pesawat pertama pada November tahun lepas,” kata Panglima Tentera Darat.

Muhammad Hafizuddeain turut menegaskan keperluan helikopter medium lift adalah amat diperlukan oleh Tentera Darat bagi melaksanakan operasi di seluruh negara.

Perolehan helikopter Black Hawk sebelum ini diumumkan pada 11 Mac 2023 lalu oleh Panglima Tentera Darat pada ketika itu, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Melihat kepada kepincangan isu perolehan helikopter Black Hawk ini, sudah tentu ianya wajar dibangkitkan di Dewan Rakyat memandangkan kelewatan sebegini merupakan kali kedua yang dialami oleh Tentera Darat selepas kelewatan helikopter MD530G.

Malah, ia sekaligus menjadi rekod rasmi sekiranya perlu dirujuk pada masa hadapan kelak.

Pun begitu, sesi soal jawab lisan akan didahului Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang mengandungi 3 soalan utama.

Melihat kepada sesi sebelum ini, kemungkinan persoalan mengenai helikopter Black Hawk yang dibangkitkan pada hari ini akan dijawab secara penyataan jawapan lisan adalah tinggi. Ini memandangkan kedudukan persoalan tersebut adalah ke-11 jika dikira secara keseluruhan.

Lazimnya, 10 soalan pertama akan dijawab semasa sesi jawab lisan. Dalam erti kata lain, ia bergantung kepada ruang masa di Dewan Rakyat. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #BlackHawk

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?