Home Semasa Wisma Putra: Malaysia konsisten gesa gencatan senjata kekal di Gaza

Wisma Putra: Malaysia konsisten gesa gencatan senjata kekal di Gaza

by M.Daim

PUTRAJAYA, 4 JUN 2024 – Kementerian Luar Negeri menegaskan pendirian Malaysia yang mahukan gencatan senjata berkekalan di Gaza.

Menurutnya, Malaysia secara konsisten menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk
menamatkan segera pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.

“Kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel telah menyebabkan satu tragedi kemanusiaan yang sangat dahsyat di Gaza,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, cadangan tiga fasa gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan langkah yang tepat.

Presiden negara kuasa besar itu, Joe Biden sebelum ini mengumumkan 3 fasa gencatan senjata di Gaza.

Antara perkara yang termaktub dalam cadangan tersebut adalah gencatan senjata sepenuhnya,
pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara
kekal, dan rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin.

“Malaysia menyeru pihak yang berkaitan menerima cadangan itu dan berusaha ke arah pelaksanaan sepenuhnya sebagai langkah yang terbaik untuk menamatkan malapetaka berterusan di Gaza dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Wilayah Palestin,

“Masyarakat antarabangsa juga mesti mengutamakan bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza,” jelas kenyataan itu.

Wisma Putra turut menegaskan pendirian Malaysia yang kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin.

“Malaysia akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #WismaPu

Related Articles

Leave a Reply