Home Pertahanan dan Keselamatan Bilangan helikopter TLDM kian berkurangan, wajar diberikan perhatian

Bilangan helikopter TLDM kian berkurangan, wajar diberikan perhatian

by M.Daim

Baru-baru ini, punca insiden nahas 2 buah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah pun diumumkan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob baru-baru ini.

Dengan pengumuman tersebut, persoalan umum mengenai punca nahas telah pun dijawab. Pun begitu, insiden ini telah mengurangkan bilangan helikopter angkatan laut negara.

Semasa sidang media di KD SRI GOMBAK baru-baru ini, Air Times telah mengajukan soalan berhubung impak insiden tersebut terhadap postur fleet helikopter TLDM.

Nahas di Lumut pada akhir April lalu telah mengurangkan jumlah helikopter TLDM. Kini, hanya 4 buah Fennec dan 2 buah AW 139 (gambar) dioperasikan oleh TLDM. Foto: TLDM

Panglima Tentera Laut mengesahkan bahawa kedua-dua helikopter yang terlibat dalam nahas tersebut tidak dapat dibaiki.

“Kedua-dua bangkai pesawat masih lagi berada di Markas Udara TLDM untuk semakan lanjut,

“Akan tetapi, kedua-dua pesawat ini beyond repair, non repairable (tidak boleh dibaiki),” katanya.

Mengimbau semula insiden 23 April 2024, helikopter yang terlibat dalam nahas ialah Helikopter Operasi Maritim AW139 yang baharu sahaja diperolehi oleh TLDM. Sebuah lagi helikopter yang terlibat ialah AS550 Fennec.

Walaupun kecil, Fennec memainkan peranan yang penting kepada pertahanan maritim tanah air. Fotro: Facebook 502 Skuadron

Kedua-dua helikopter ini memainkan peranan yang tersendiri dalam Cawangan Udara TLDM. Selain Fennec dan AW139, TLDM turut mengoperasikan helikopter Super Lynx Mk 100.

Menurut Panglima Tentera Laut, AW139 merupakan helikopter baharu yang diperolehi oleh TLDM. Setakat ini, hanya tinggal 2 buah beroperasi lantaran daripada insiden yang menimpa helikopter tersebut.

Pada masa yang sama, bilangan helikopter Fennec turut berkurangan kepada 4 buah. Sebelum ini, TLDM mengoperasikan 6 buah helikopter Fennec. Selain insiden 23 April 2024, sebuah Fennec turut mengalami kerosakan teruk dalam satu nahas udara pada tahun 2021.

“Sudah tentu ia akan menjejaskan pengoperasian dan keperluan TLDM,

“Kita sedang berusaha untuk meningkatkan kesiagaan pesawat-pesawat yang sedia ada,

“Pada waktu yang sama, kita cuba dapatkan perolehan helikopter-helikopter baharu – sama ada secara terus atau sewaan,” jelasnya.

Kehadiran Fennec dan Super Lynx (gambar) telah memberikan keupayaan tambahan kepada TLDM.

AS550 Fennec

AS550 Fennec sememangnya amat dikenali dengan saiznya yang kecil dan lincah. Ia merupakan helikopter ke-3 yang dioperasikan oleh TLDM iaitu WASP HAS MK 1 (telah ditamatkan khidmat pada 2001) dan Super Lynx Mk 100 yang dioperasikan semenjak 2004.

Pengoperasian Super Lynx dan Fennec dirasmikan secara serentak pada 9 Ogos 2004.

Fennec merupakan helikopter yang dihasilkan oleh Eurcopter (kini Airbus Helicopters).

Dalam sejarah perkhidmatan TLDM, Fennec memainkan peranan yang tersendiri dalam operasi untuk negara. Antaranya operasi menyelamat MT BUNGA LAUREL yang ditawan oleh lanun Somalia semasa OP FAJAR di Teluk Aden.

Walaupun ianya bukanlah sebuah helikopter tempur seperti mana yang dibayangkan oleh umum, Fennec dilengkapi dengan mesingan 7.62mm. Dalam operasi mengekang serangan lanun, Fennec berperanan untuk melakukan pemantauan dan juga membawa penembak hendap. Lanun-lanun Somalia telah berbalas tembakan dengan helikopter ini. Senario kisah MT BUNGA LAUREL diabadikan dalam filem patriotik tempatan, PASKAL.

Fennec ketika memintas bot nelayan asing (BNA) pada tahun 2019. Foto: Mawilla 1

Selain itu, Fennec turut digunakan oleh TLDM dalam mengesan, memintas dan menaiki bot nelayan asing yang menceroboh masuk perairan negara. Walaupun ianya bukan tugas hakiki Fennec, helikopter ini digunakan oleh TLDM sekiranya keadaan memerlukan.

Sebagai contoh, Fennec digunakan untuk memintas dan menawan bot nelayan asing di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada tahun 2019. Pada ketika itu, pencerobohan nelayan asing di kawasan perairan berkenaan telah memberikan ancaman kepada kumpulan-kumpulan nelayan tempatan.

Dari segi operasi tempur, helikopter ini memainkan peranan yang penting dalam mengesan dan menjejak sasaran. Dilengkapi dengan radar pemantauan maritim jenis Telephonics 1500. Radar ini mampu mengesan dan menjejak sasaran pada satu-satu masa.

Walaupun saiznya yang agak kecil, Fennec mampu membuat pengesanan sasaran melangkaui ufuk (over the horizon) untuk kapal- kapal TLDM. Ini bagi membolehkan serangan jarak jauh terhadap kapal perang musuh dilakukan.

AW 139 diberikan gelaran Tenom bersempena pahlawan Murut di Sabah, Antanom. Foto: TLDM

AW139

Helikopter AgustaWestland AW139 merupakan aset helikopter terkini TLDM. Pembelian pesawat ini bermula dengan kontrak perolehan yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd pada 11 September 2020. Di bawah kontrak ini, sebanyak 3 buah AW139 diperoleh.

Dua buah helikopter pertama telah diterima pada April 2022 dan yang ketiga (terakhir) pada 29 Oktober 2022.

Menariknya mengenai operasi helikopter oleh Skuadron 503 ia diberikan nama panggilan (call sign) Tanom. Gelaran ini bersempena dengan nama pahlawan Murut di Sabah, Antanom.

Helikopter Operasi maritim (HOM) AW 139 memainkan peranan dalam memperagakan kehadiran aset pertahanan negara di kawasan sempadan tanah air. Foto: MPA Timur

Helikopter ini memainkan peranan dalam melaksanakan operasi penerbangan ke Stesen Luar Pantai TLDM di Gugusan Semarang Peninjau (GSP). Antara operasi yang dilaksanakan adalah operasi Identification, Surveillance and Reconnaissance (ISR) di sekitar GSP dalam usaha mengesan pencerobohan oleh bot nelayan atau kapal asing.

Walaupun sekadar helikopter, kehadiran AW139 di kawasan GSP memberikan penekanan kehadiran Malaysia di kawasan GSP. Ini bagi memperkukuhkan kehadiran dan kedaulatan wilayah tersebut yang turut dituntut oleh negara luar.

Dengan bilangan helikopter yang kian berkurang, di atas kertas – ianya sudah tentu memberikan kesan kepada TLDM. Malah, keperluan helikopter oleh TLDM pada masa kini wajar diberikan perhatian oleh pihak kerajaan memandangkan bilangan-bilangan pesawat yang sedia ada untuk angkatan laut negara kian berkurang. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM

Related Articles

Leave a Reply