Home Pertahanan dan Keselamatan IPD Bagan Datuk dilancarkan, jadi IPD ke-16 di negeri Perak

IPD Bagan Datuk dilancarkan, jadi IPD ke-16 di negeri Perak

by Zaki Salleh

BAGAN DATUK, 3 JUN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk secara rasminya dilancarkan menjadikan ia  sebagai IPD ke-16 di negeri Perak.

Bagan Datuk sebelum ini diisytiharkan sebagai daerah baru pada 9 Januari 2017 oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sehubungan itu perlu untuk diwujudkan sebuah IPD baharu bagi melancarkan lagi hal-hal kepolisan untuk daerah tersebut.

Aspek keselamatan dan keharmonian lebih 82,000 penduduk Bagan Datuk terjamin apabila wujudnya pusat pentadbiran IPD sendiri.

IPD Bagan Datuk secara tidak rasmi telah mula beroperasi pada 16 Mac lalu dengan 267 kekuatan di mana Balai Polis Hutan Melintang telah dipilih untuk menjadi pusat operasi sementara.

Peruntukan berjumlah RM2 juta bagi perolehan tanah berkeluasan 10 ekar untuk pembinaan Kompleks IPD Bagan Datuk yang baru telah pun diluluskan di bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)

PDRM telah mengemukakan permohonan kos pembinaannya dengan anggaran RM200 juta di bawah Rolling Plan 5 (RMK12).

Pembinaan IPD Bagan Datuk juga termasuk dalam senarai 22 projek pembinaan baharu baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan peruntukan RM1.47 bilion dijangka bermula tahun depan.

Projek tersebut diluluskan sebagai usaha kerajaan bagi menyediakan kemudahan dan persekitaran yang selesa dan kondusif untuk warga PDRM dengan infrastruktur dan peralatan baharu canggih.

Terdahulu, majlis pelancaran IPD Bagan Datuk disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri,

Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri.

Pada 2018, kerajaan pada masa itu mengumumkan seramai 280 pegawai dan anggota polis bakal ditempatkan di IPD Bagan Datuk apabila pembinaannya siap kelak.

Ini antara komitmen kerajaan bagi memberi jaminan menyokong inisiatif memastikan kawasan IPD baharu ini bebas jenayah, dadah dan perjudian pada masa akan datang.

Terdapat 12 daerah di Perak selain Bagan Datuk iaitu Hulu Perak, Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Kinta, Kampar, Batang Padang, Manjung, Hilir Perak, dan Muallim.

Daripada aspek ekonomi, daerah ini mempunyai Taman Kekal Pengeluaran Makanan – Zon Industri Akuakultur (TKPM-ZIA) Bagan Datuk yang dilancarkan pada November tahun lalu. – airtimes.my

#Malaysia #Perak #PDRM

Related Articles

Leave a Reply