Home Semasa 5 ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram ditahan bawah SOSMA

5 ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram ditahan bawah SOSMA

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 MEI – Lima ahli keluarga suspek kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan semula kesemua suspek yang berumur 19 hingga 62 tahun itu ditahan mengikut SOSMA selepas tempoh reman tamat hari ini.

“5 beranak suspek kita tahan di bawah Sosma selepas tempoh reman tamat hari ini. Apa yang disebut saya sebelum ini, di mana bapa dia (suspek) merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI),

“Itu memang betul, dalam data dan rekod kita ada. Saya kena maklumkan begitu untuk tahu siasatan kita ke arah mana pada awalnya,

“Tetapi apabila kita memanggil saksi, kejiranan di ulu Tiram, kita dapati bahawa keluarga ini memang ‘isolated’ (terasing), keluarga tak campur orang, anak perempuan yang terakhir tidak bersekolah, anak yang ditembak mati (suspek) sekolah sampai darjah 4, abang dia saja sampai tingkatan 5, seorang lagi kakak sampai darjah 6,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata, apabila pihaknya memanggil 47 saksi, daripada data polis, dapati bahawa suspek langsung tiada jaringan dengan JI, walaupun bapanya pada asalnya dalam data adalah anggota JI.

“Saya kena cakap benda yang betul, tapi orang spin (pusing),” jelasnya lagi.

Sebelum ini 7 individu termasuk 5 ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, 2 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut direman sama dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Sementara itu Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Penyerang yang bertopeng itu kemudian maut ditembak dalam kejadian tersebut. -airtimes.my

#serang #Balaipolis #UluTiram #PDRM #SOSMA #airtimes

Related Articles

Leave a Reply