Home Pertahanan dan Keselamatan Lawatan PTD ke Turkiye tinjau kilang FNSS, Norul Makina bakal membuahkan sesuatu?

Lawatan PTD ke Turkiye tinjau kilang FNSS, Norul Makina bakal membuahkan sesuatu?

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 24 MEI – Program penggantian kenderaan-kenderaan perisai Tentera Darat nampaknya akan berjalan tidak lama sekiranya lawatan Panglima Tentera Darat (PTD) ke Turkiye dijadikan ukuran.

PTD, Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama delegasi telah mengadakan lawatan kerja ke Kilang FNSS Savunma Sistemleri A.S (FNSS) di Ankara, Turkiye.

FNSS merupakan peneraju dalam industri pertahanan di negara itu dalam pembuatan kenderaan perisai dan armor yang unggul.

Ia juga bukan asing kerana FNSS merupakan syarikat yang bersama-sama DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech) membangunkan kenderaan berperisai ACV 300 Adnan dan AV8 Gempita di Pekan, Pahang.

Lawatan ini bagi melihat beberapa jenis kenderaan perisai buatan firma tersebut.

Antaranya ialah ACV 300 yang telah dinaiktaraf, kenderaan PARS 4×4 Wheeled Armoured Vehicle (WAV) dan PARS III 6×6 APC.

Menerusi paparan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Tentera Darat memaklumkan beberapa jenis kenderaan ini telah melalui proses uji nilai di Malaysia dua tahun lalu.

Fasa ujian tersebut telah diadakan pada 5 hingga 21 April 2022 bertujuan menguji tahap kompetensi kesemua kenderaan.

Mengikut spesifikasi yang telah diuji nilai, PARS 4×4 WAV sesuai digunakan oleh Kor Armor Diraja (KAD) sebagai kenderaan peninjau berperisai (ARV – Armoured Reconnaisance Vehicle).

Bagi varian PARS III 6×6 pula lebih sesuai sebagai kenderaan tempur armor (AFV – Armoured Fighting Vehicle) dan kenderaan pembawa anggota (APC).

Sekurang-kurangnya 136 buah kenderaan jenis A 4×4 akan dibeli menerusi peruntukan RM2.049 bilion sepertimana yang diumumkan selepas Bajet 2023 dibentangkan.

Semasa pembentangan Bajet 2024 lalu pula kerajaan menegaskan fokus utama perolehanan yang akan dilaksanakan tahun ini ialah pembelian kenderaan perisai infantri dan Kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (HMLTV).

Delegasi PTD turut melawat ke kilang Norul Makina Ve Sanayi A.S di Ankara.

Norul Makina telah membekalkan 20 buah kenderaan perisai Panthera 4×4 untuk tentera pengaman Malaysia di Lebanon (Malbatt) bagi menggantikan sebahagian Radpanzer Condor.

Dalam lawatan itu delegasi melihat dengan lebih dekat demonstrasi kenderaan perisai ringan 4×4 NMS (LAV).

NMS 4×4 turut dipamerkan semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2024) lalu.

Kenderaan ini juga telah diuji nilai di Malaysia dua tahun lalu bagi mengetahui tahap ketahanan dan mobiliti apabila digunakan pada bentuk muka bumi negara.

Berdasarkan ujian, kenderaan ini sesuai bagi aturgerak pasukan infantri sebagai kenderaan pengangkut anggota bagi melaksanakan tugas-tugas di kawasan terbina (OBUA).

Ia juga boleh diperanankan sebagai kenderaan peninjauan bagi pasukan armor.

Sama ada lawatan orang nombor satu Tentera Darat ini bakal membuahkan sesuatu, harapan diletakkan begitu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply