Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Selangor tahan bot nelayan bawa 42 PATI Indonesia keluar secara haram

APMM Selangor tahan bot nelayan bawa 42 PATI Indonesia keluar secara haram

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 24 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki cuba membawa 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia termasuk seorang bayi keluar dari perairan negara, semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, KM DANGA melakukan penahanan ke atas bot nelayan asing itu pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, Morib sekitar jam 1.10 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 42 individu yang dipercayai warga Indonesia iaitu 30 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia satu tahun bersembunyi di bawah kanvas berwarna biru di dalam bot,

“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu melakukan penyeludupan migran dan keluar daripada Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua yang ditahan bersama bot dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk maklum balas segera. -airtimes.my

#APMM #keselamatan #airtimes #Malaysia #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply