Home Pertahanan dan Keselamatan RAFOC Coffee Talk: Medan veteran pegawai tentera berbakti kepada negara

RAFOC Coffee Talk: Medan veteran pegawai tentera berbakti kepada negara

by Ashraf Manaf

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Walaupun telah lama meninggalkan dunia kerjaya sebagai pegawai tentera, tetapi semangat mereka untuk berkhidmat kepada negara tetap membara.

Matlamat dan perjuangan mereka kepada Malaysia tetap dilaksanakan dengan cara tersendiri walaupun tidak lagi menyarung uniform.

Perkara ini dibuktikan oleh ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Retired Armed Forces Officers Association, RAFOC) melalui medan perbincangan Coffee Talk 3/24 di Wisma Perwira, hari ini.

Presiden RAFOC, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara). Foto: Air Times/ Ashraf

Menurut Presiden RAFOC, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara), RAFOC Coffee Talk merupakan medan perbincangan terperinci tentang isu-isu semasa negara di kalangan ahli-ahli yang hadir.

“Kita (RAFOC)  masih lagi memainkan peranan kita, bukan saja untuk Angkatan Tentera Malaysia tetapi juga untuk negara,

“Jadi, apa-apa yang melibatkan perkara di negara juga kita ambil perhatian (dan dibincangkan),” katanya kepada Air Times selepas menghadiri RAFOC Coffee Talk 3/24.

Menurut beliau, lazimnya program ini akan mengetengahkan isu-isu berkaitan pertahanan memandangkan keahlian RAFOC adalah terdiri daripada pegawai tentera yang bersara. Pun begitu, Presiden RAFOC menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan tidak terhad kepada pertahanan semata-mata tetapi ia turut merangkumi pelbagai perkara yang penting.

Pun begitu, isu yang dibangkitkan tidak akan berakhir begitu sahaja di meja perbincangan tetapi ia akan disusuli dengan tindakan yang selanjutnya.

Peranan veteran pegawai wanita turut diketengahkan semasa sesi perbincangan RAFOC Coffee Talk 3/24 yang diadakan di Wisma Perwira baru-baru ini. Foto: Air Times/Ashraf

“Apa yang kita buat, kita ada team (pasukan) yang terdiri daripada jawatankuasa RAFOC,

“Kita duduk, berbincang, dan menulis kepada mereka-mereka yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berkenaaan,

“Kita majukan cadangan-cadangan dan sebagainya kepada pihak tersebut,” kata Abdul Aziz.

Tambahnya, tindakan tersebut dilakukan sepanjang tahun memandangkan sesi ini dilaksanakan pada hari Khamis pertama pada setiap bulan.

“Boleh dikatakan, kita buat setiap bulan. Kita sentiasa menulis kepada pihak-pihak berkenaan,” ujar beliau.

Abdul Aziz menyatakan program ini kali pertama diadakan pada tahun 2023 dan menyaksikan penambahan penglibatan di kalangan-kalangan ahli.

“Idea Coffee Talk ini tercetus sebab kita rasakan pemikiran mereka, idea-idea dan sebagainya ni adalah sesuatu perkara yang relevan,

“Jika sekiranya tidak dicungkil, ditanya, tidak dibincangkan, ianya akan terbiar begitu sahaja,

Sedangkan apa yang mereka lalui ini, mereka ni ada pengalaman yang berharga dan tak ternilai. Jadi itu yang yang kita buat,” jelasnya.

Presiden RAFOC, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara) ketika menghadiri sesi Coffee Talk 3/24. Foto: Air Times/Ashraf

Tinjauan Air Times semasa liputan eksklusif RAFOC Coffee Talk 3/24 mendapati tajuk yang diketengahkan adalah Securing the Nation: Addressing Threats Posed by International Intrusions dan Rethinking Military Shows: Tradition vs. Practicality.

“Kita pilih tajuk-tajuk yang bersesuaian, boleh kata setiap bulan kita pilih satu tajuk yang kuat, serius dan satu tajuk lagi adalah yang ringan,” kata Abdul Aziz.

Beliau menambah, keahlian RAFOC pada ketika ini adalah hampir 15 ribu ahli. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #RAFOC #Veteran

Related Articles

Leave a Reply