Home Semasa Raja-raja Melayu minta kerajaan bertegas dalam isu menyentuh 3R – Anwar

Raja-raja Melayu minta kerajaan bertegas dalam isu menyentuh 3R – Anwar

by M.Daim

PUTRAJAYA, 2 MEI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pihak Raja-raja Melayu meminta kerajaan untuk lebih bertegas dalam isu melibatkan 3R (raja, agama dan kaum).

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam program Soal Jawab Perdana Menteri.

Anwar berkata, beliau dan kerajaan tetap bersedia menerima kritikan. Akan tetapi, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap isu 3R.

“Raja-raja Melayu secara konsesus meminta supaya kerajaan lebih tegas menghalang (isu 3R),

“Ini kerana mereka merasa tidak adil. (Raja-raja Melayu) diserang tapi (Raja-raja Melayu) tak boleh jawab (persoalan),

“… semua cakap nak pertahan Melayu, parti pun parti Melayu, tapi maki Raja-raja Melayu… saya tidak akan bertolak ansur (bagi yang) langgar peraturan ini,

“Polis akan bertindak tegas dan saya minta peguam negara kaji dan bawa ke mahkamah biar mahkamah putuskan,” katanya.

Tambahnya,  kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bukan bermakna kebebasan untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati.

Beliau turut menegaskan pihak kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak-pihak yang menyentuh institusi raja-raja, sebagai contoh dakwaan penglibatan raja dalam penubuhan kasino.

Semalam, Perdana Menteri menafikan penubuhan kasino tersebut semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024.

Anwar turut menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah bertitah kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City. – airtimes.my

#AirTimes #Semasa #3R

Related Articles

Leave a Reply