Home Teknologi Pertahanan Peru bakal terima 4 kapal perang baharu dari Korea Selatan

Peru bakal terima 4 kapal perang baharu dari Korea Selatan

by Wazien Zamri

LIMA, 2 MEI – Tentera Laut Peru (Peruvian Navy) bakal menerima empat buah kapal perang dibina oleh Hyundai Heavy Industries (HHI).

Pada Mac lepas, Peru telah menetapkan syarikat HHI sebagai pilihan mereka bagi menyediakan reka bentuk dan kelengkapan kapal tersebut yang dijadualkan pemerolehannya pada tahun 2030.

Syarikat Korea Selatan itu telah menandatangani kontrak bernilai US$463 juta tersebut pada Isnin yang lalu.

Ketua pemasaran HHI bahagian tentera laut dan kapal khas, Won-Ho Joo berkata, mereka akan mengaplikasikan kemahiran dan pengalaman luas serta menggunakan kemajuan teknologi yang dimiliki dalam usaha memperhebat keupayaan tempur Tentera Laut Peru.

“HHI akan bertanggungjawab terhadap rekabentuk kapal termasuklah dalam penyediaan barangan, bahan dan bantuan teknikal sepanjang pembinaan kapal tersebut,” jelas beliau.

Peru akan menerima kapal frigat 3,400 ton dilengkapi peluru berpandu, kapal peronda pesisiran 2,200 ton serta dua buah kapal pendaratan 1,500 ton.

Pembinaan kapal-kapal ini merupakan langkah bersasar Peru untuk kesiagaan tentera laut mereka, yang mungkin melibatkan sehingga 23 buah kapal pelbagai jenis.

Buat masa ini, fokus utama mereka adalah mendapatkan 6 buah kapal frigat  yang canggih pelbagai guna dan dilengkapi peluru berpandu bagi menggantikan kapal frigat yang lama.

Projek pembinaan kapal frigat itu adalah berdasarkan reka bentuk frigat kelas Daegu milik Tentera Laut Korea Selatan, namun disesuaikan untuk keperluan Peru. Termasuklah hangar yang diperluas bagi membolehkan pendaratan serta penerbangan helikopter. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply