Home Semasa Kerajaan tidak iktiraf peniaga, penjaja kecil warga asing

Kerajaan tidak iktiraf peniaga, penjaja kecil warga asing

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Apr – Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja serta peniaga kecil.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh yang mewakili KPKT berkata, PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja atau pembantu dibawah lesen penjaja di premis PBT.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan kerana kadar harga sewaan yang ditetapkan oleh PBT adalah di bawah harga pasaran dan bertujuan untuk memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan.

“PBT juga tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Fuziah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta KPKT menyatakan sejauh manakah kesiapsiagaan PBT dalam membasmi masalah kebanjiran peniaga yang tidak berlesen dalam kalangan pendatang asing tanpa izin yang mencemarkan imej kawasan setempat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengeluaran lesen perniagaan hanya dikeluarkan untuk warganegara Malaysia sahaja dibawah UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian.

Selain itu, undag-undang tersebut juga membenarkan warga asing diambil sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja atau permit dagang yang sah.

Jelasnya, PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran yang jelas terhadap syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh mana-mana perniaga dan pemegang lesen oleh perniagaan milik warga asing.

“PBT juga telah melakukan pemantauan secara berkala ke atas premis-premis perniagaan dan penjaja di kawasan PBT terutamanya yang menjadi tumpuan warga asing,

“PBT juga membuat sitaan dan rampasan barangan penjaja warga asing yang didapati menjalankan perniagaan secara haram dan menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya lagi.

Tambahnya, bagi tahun 2022 dan sehingga kini, PBT telah melaksanakan sebanyak 2,031 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing.

“PBT juga telah membatalkan sebanyak 26,108 lesen peniaga atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen atau premis yang ditetapkan oleh PBT atau memindah milik lesen atau permit mereka kepada warga asing,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#semasa #KPKT #airtimes #wargaasing #peniaga

Related Articles

Leave a Reply