Home Pertahanan dan Keselamatan Benarkah ada cadangan untuk penswastaan semua helikopter kerajaan?

Benarkah ada cadangan untuk penswastaan semua helikopter kerajaan?

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 24 MAC – Sejak sebulan lalu, tular dakwaan mengatakan ada cadangan pihak ketiga kepada kerajaan menawarkan perkhidmatan sewaan bagi flet helikopter pasukan keselamatan termasuk agensi berkaitan.

Cadangan penswastaan perkhidmatan helikopter ini dikatakan sebagai opsyen bagi kerajaan melengkapkan flet helikopter lebih pantas berbanding tender perolehan.

Dakwaan yang dibuat seorang pempengaruh politik terkenal ini disiarkan dalam laman media sosial beliau yang boleh diakses secara terbuka.

Dakwanya, konsep penswastaan atau sewaan helikopter ini menggunakan kaedah sama sepertimana perkhidmatan Spanco.

Syarikat Spanco memegang konsesi untuk pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan selama 30 tahun, sejak ia dianugerahkan bermula 1 Januari 1994.

Sejak itu, Spanco yang beroperasi pada 16 Ogos 1988 ini menjadi penyedia khidmat pengurusan kenderaan bersepadu terbesar di negara ini.

Ketika ini, 36 kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara menggunakan perkhidmatan Spanco.dengan pembabitan lebih 13,000 buah kenderaan konsesi.

Jadinya, cadangan untuk perkhidmatan penswastaan kesemua helikopter kerajaan ini dikatakan sedang dibincangkan.

Menurut dakwaan individu tersebut, tender atau cadangan itu tidak dibuat secara terbuka, sebaliknya empat syarikat sahaja dibenarkan membida.

Katanya, sebuah syarikat tempatan yang mempunyai perniagaan besar dalam perkhidmatan pembekalan helikopter untuk industri dikatakan bakal mendapatkan kontrak ini.

Walaupun jumlahnya tidak dinyatakan secara spesifik tetapi difahamkan rancangan penswastaan ini melibatkan dalam jumlah 28 buah pesawat helikopter.

Antara butiran yang didedahkan oleh pempengaruh politik di akaun media sosial beliau.

Antaranya untuk kegunaan ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Maritim Malaysia, polis dan Jabatan Perdana Menteri.

Harga projek adalah RM16.8 billion bagi tempoh 15 tahun sewaan.

Sepertimana diketahui umum, perolehan helikopter secara sewaan oleh kerajaan misalnya untuk kegunaan ATM bukan baharu.

Ia menggunakan konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) yang mana dilihat lebih efektif buat masa ini.

Langkah itu berfungsi sebagai penyelesaian bersifat sementara, sebelum aset baharu atau perolehan sebenar dibuat.

Setakat ini belum ada maklum balas daripada pihak kerajaan secara terbuka berhubung dakwaan pempengaruh politik ini menyebabkan isu tersebut terus menimbulkan tanda tanya.

Malah, dakwaan ini juga menimbulkan persoalan sejauh mana kebenarannya atau adakah ini penyebaran satu lagi berita palsu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Keselamatan

Related Articles

Leave a Reply