Home Pertahanan dan Keselamatan Banyak lagi cara untuk sampaikan bantuan ke Gaza – Khaled Nordin

Banyak lagi cara untuk sampaikan bantuan ke Gaza – Khaled Nordin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan bantuan kemanusian ke Semenanjung Gaza boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia hendak menyalurkan bantuan ke kawasan tersebut, ia tidak semestinya melalui hantaran udara.

“Kementerian memang ada berbincang dan sedang memikirkan cara-cara yang lain, yang kita rasa kita juga boleh lakukan bantuan. Saya percaya kutipan untuk mangsa Gaza yang diuruskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) itu masih berterusan,

“Kalau pun kita hendak lakukan bantuan kemanusian melalui guguran udara, mungkin Malaysia akan hantar barangan ke kawasan sana, dan pihak sana yang akan melaksanakan pengguguran udara tersebut bukan melalui kapal terbang kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh para penyumbang kepada ATM Tahun 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adakah aset ATM akan diaturgerakkan bagi melaksanakan misi penguguran udara di Gaza seperti yang dilakukan oleh Singapura.

Tegasnya, kerajaan Malaysia dibawah kelolaan Kementerian Luar Negeri telah menghulurkan bantuan ke kawasan bergolak itu melalui Ops Ihsan sejak tahun lalu.

“Kita memang ada bantu. Cuma cara untuk sampai ke kawasan itu dibawah bidang kuasa Kementerian Luar, ia bukan dari pesawat ATM yang buat penguguran tersebut,” ujarnya lagi.

Semalam, Singapura telah berjaya melaksanakan misi menggugurkan bantuan kemanusiaan pertamanya ke Gaza sebagai sebahagian daripada peringkat ketiga bantuan kemanusiaan negara itu ke kawasan konflik.

Dalam hantaran di Facebook, Angkatan Udara Republik Singapura (Republic of Singapore Air Force, RSAF) berkata, misi menggugurkan bantuan itu menggunakan pesawat pengangkut C-130 milik RSAF yang dijalankan dengan kerjasama rapat Tentera Udara Jordan.

Sementara itu, Malaysia melalui Ops Ihsan yang mengabungkan 45 badan bukan kerajaan (NGO) telah melakukan penghantaran sumbangan rakyat Malaysia ke Gaza pada 3 November dan 18 Disember 2023.

Segala barangan ini diterbangkan ke Al-Arish, Mesir melalui pesawat kargo sewaan khas dan dibiayai Kerajaan Malaysia. Barangan kemanusiaan ini dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Pada Januari lalu juga, sebanyak 100,000 bakul makanan akan dihantar secara berperingkat ke Gaza, Palestin melalui Ops Ihsan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Tabung Makanan Nasional Mesir.-airtimes.my

#pertahanan #Malaysia #airtimes #Gaza #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply