Home Pertahanan dan Keselamatan MALBATT akan operasi kenderaan berperisai baharu di Lubnan April 2024

MALBATT akan operasi kenderaan berperisai baharu di Lubnan April 2024

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 MAC – Kenderaan berperisai PANTHERA akan dioperasikan oleh pasukan pengaman Malaysian Battalion (MALBATT) di Lubnan pada April ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kenderaan perisai PANTHERA dijangka akan mula beroperasi pada bulan April 2024 selepas proses Ujian Penerimaan Terakhir selesai pada awal bulan Mac 2024 nanti,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen.

Terdahulu, beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang menyatakan kemungkinan 9 buah IAG Guardian akan dilupuskan selepas PANTHERA mula diterima oleh MALBATT.

Menyentuh perkara tersebut, Khaled menegaskan perolehan 20 buah PANTHERA bukanlah untuk menggantikan peranan IAG Guardian. Sebaliknya, pembelian kenderaan berperisai dari Turkiye itu akan menggantikan peranan Radpanzer Condor.

“Tidak timbul isu kereta perisai 4 × 4 PANTHERA dibeli bagi menggantikan kereta perisai Guardian,

“Pihak MALBATT, Markas Angkatan Bersama dan Kementerian Pertahanan sedang dalam proses untuk melupuskan sebanyak 20 buah lagi kenderaan perisai CONDOR yang masih beroperasi di MALBATT,

“Ia (Condor) akan digantikan oleh 20 buah kenderaan perisai PANTHERA yang baru dibeli dari Turkiye,” katanya.

Panthera merupakan designasi tempatan untuk kenderaan Ejder Yalcin yang dihasilkan oleh syarikat Turkiye, Nurol Makina. – airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #Malaysia #Malbatt #UNIFIL

Related Articles

Leave a Reply