Home SemasaGlobal 4 cedera, kapal alami kerosakan akibat dilanggar Pasukan Pengawal Pantai China

4 cedera, kapal alami kerosakan akibat dilanggar Pasukan Pengawal Pantai China

by M.Daim

MANILA, 5 MAC – Seramai 4 orang dilaporkan cedera dalam insiden pertembungan antara Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG).

Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan perairan Filipina, hari ini.

Menurut jurucakap PCG, Commodore Jay Tarriela, kejadian berlaku apabila PCG dan Militia Maritim China (CMM) bertindak agresif memintas konvoi kapal Filipina yang sedang dalam perjalanan menghantar bekalan ke pos BRP SIERRA MADRE.

“Pada pukul 6.32 pagi (waktu tempatan), kapal CCG 21555 telah melakukan manuver pelayaran yang berbahaya terhadap kapal PCG,

“Tindakan CCG telah menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian badan kapal PCG 4407,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

Menurut Tarriela, CCG turut merempuh sebuah kapal membawa bekalan, Unaizah May 4 (UM4).

Beliau menambah, kapal CCG 21555 dan CCG 21551 telah melepaskan tembakan meriam air terhadap sebuah UM4.

“Tembakan meriam oleh kedua-dua kapal CCG telah menyebabkan cermin kapal UM4 pecah dan menyebabkan 4 anak kapal cedera,

“Anak kapal yang cedera telah menerima rawatan oleh pihak PCG di lokasi kejadian,” jelasnya.

Tarriela turut menyatakan kapal UM4 telah berlayar pulang ke Palawan dan diiringi oleh pihak PCG.

Beliau menambah, misi penghantaran bekalan ke BRP SIERRA MADRE berjaya dilaksanakan apabila sebuah lagi kapal, Unaizah May 1 (UM1) telah berjaya tiba di lokasi.

Tarriela turut menegaskan kejadian terbaharu ini merupakan satu tindakan provokasi dan tidak bertanggungjawab. Beliau turut mempersoalkan keikhlasan China dalam seruannya untuk melakukan dialog bagi mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan.

“Filipina akan terus bertindak secara aman dan bertanggungjawab selaras dengan undang-undang antarabangsa khususnya UNCLOS serta keputusan Timbang Tara 2016,” ujar beliau.

BRP SIERRA MADRE merupakan pos kawalan terhadapan Filipina di Second Thomas Shoal. Ia merupakan kapal pendaratan era Perang Dunia ke-2 yang didermakan dari Vietnam Selatan pada tahun 1976.

Kapal pendaratan ini kemudiannya ditempatkan di Second Thomas Shoal pada tahun 1999 bagi memperkukuhkan tuntutan Manila di kawasan Kepulauan Spratlys. – airtimes.my

#AirTimes #Global #Filipina #CCG #PCG

Filipina sahkan sebuah kapal pengawal pantai mengalami kerosakan dan 4 lagi cedera dalam pertembungan dengan China semasa misi hantar bekalan ke BRP SIERRA MADRE.

#AirTimes #Global #Filipina #CCG #PCG

Related Articles

Leave a Reply