Home Pertahanan dan Keselamatan Kenderaan MALBATT ditahan penduduk tempatan, tiada kecederaan – ATM

Kenderaan MALBATT ditahan penduduk tempatan, tiada kecederaan – ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kenderaan Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi menyertai misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) telah ditahan penduduk tempatan di Beirut, Lubnan, pada 29 Februari lalu.

Menurut Markas ATM, kejadian berlaku pada jam 4.30 petang (waktu tempatan Lubnan) ketika konvoi 2 buah kenderaan MALBATT 850-11 dalam perjalanan ke UNIFIL Movcon Staging Area, berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut.

“Namun, salah sebuah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) jenama CENDANA AUTO bersama 5 anggota MALBATT 850-11 telah terpisah daripada konvoi akibat kesesakan lalu lintas,

“Kenderaan tersebut telah memasuki kawasan Hay Al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut bagi membuat pusingan U untuk kembali ke laluan sebenar,” kata Markas ATM dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Markas ATM, ketika membuat pusingan U untuk keluar daripada kawasan itu, penduduk tempatan seramai 15 ke 20 orang telah menyekat kenderaan tersebut.

“Kumpulan tersebut telah meminta anggota MALBATT 850-11 untuk memberikan penjelasan serta tujuan kenderaan mereka melalui kawasan itu,

“Kumpulan penduduk tempatan itu juga telah memeriksa bahagian dalam kenderaan MALBATT 850-11 bagi tujuan tertentu,

“Kemudian, anggota dan kenderaan MALBATT 850-11 telah dibenarkan meneruskan tugasan setelah memberikan penjelasan kepada penduduk terbabit,” jelasnya.

Markas ATM menjelaskan, tiada sebarang kecederaan kepada anggota, kehilangan peralatan atau kerosakan kepada kenderaan dalam insiden tersebut.

“Kejadian itu juga telah dirujuk kepada pihakLebanese Armed Force (LAF),

“MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL. Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut,” jelas Markas ATM lagi.-airtimes.my

#pertahanan #MALBATT #Lubnan #Malaysia #airtimes #ATM

Related Articles

Leave a Reply