TEHRAN, 14 FEB – Tentera Laut Republik Iran menyatakan pihaknya telah berjaya melaksanakan penembakan pertama misil balistik dari kapal.
Penembakan tersebut telah dilakukan dari kapal kargo yang diubahsuai, SHAHID MAHDAVI dalam satu latihan ketenteraan di Teluk Oman.
Media kerajaan Iran menyatakan penembakan tersebut melibatkan misil balistik Zolfaqar.
Misil tersebut telah dibangunkan bersama oleh tentera udara dan tentera laut Iran.
“Penembakan misil ini akan meningkatkan keupayaan Iran untuk menyerang mana-mana sasaran di dunia kerana kapal ini berupaya untuk berlayar di kawasan perairan antarabangsa,” kata Komander Tentera Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami dalam laporan IRNA.
Laporan itu turut menyatakan Iran telah memperluas program misil di negara itu semenjak kebelakangan ini bagi mempertingkatkan keupayaan cegah rintang Tehran.
Zolfaqar merupakan misil jarak dekat yang dibangunkan dari Fateh-110/313. Misil ini berupaya untuk menggempur sasaran sejauh 700 kilometer. – airtimes.my
#AIrTimes #Global #Iran