Pesawat bantuan udara, A-10 Thunderbolt II sememangnya tidak asing bagi kita semua. Sama ada di layar perak mahupun di paparan berita global, pesawat ini tidak dinafikan akan keupayaannya dalam melaksanakan operasi bantuan rapat udara atau Close Air Support (CAS).
Reka bentuknya yang unik dan juga bunyi bedilan Brrt dari meriam 30mm GAU-8/A menjadikan A-10 amat mudah dikenali, baik oleh rakan mahupun lawan di medan pertempuran.
Pesawat ini dicipta bagi menghadapi kemungkinan gelombang kereta kebal Kesatuan Soviet di Eropah semasa Perang Dingin. Sebanyak 716 buah A-10 dihasilkan untuk tempoh 1972-1984.
Walaupun A-10 dikatakan cemerlang dalam melaksanakan pelbagai misi CAS, peranan pesawat ini akan digantikan oleh jet pejuang generasi ke-5, F-35.

A-10 Thunderbolt II amat dikenali dengan reka bentuk yang unik dan keupayaanya dalam melaksanakan misi CAS.
Perdebatan sama ada khidmat pesawat ini diteruskan merupakan antara perkara sering dibangkitkan di Amerika Syarikat. Rancangan menggantikan A-10 dengan F-35 sudah tentu mendapat kritikan pelbagai pihak di Washington, walaupun idea penggantian ini telah lama dikemukakan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).
Rancangan penggantian A-10 telah lama disentuh, iaitu pada tahun 2007. Untuk hampir 16 tahun perkara ini menjadi topik perbincangan antara barisan penggubal undang-undang dan juga pemimpin USAF, pihak Kongres Amerika Syarikat telah membenarkan rancangan untuk menamatkan khidmat A-10 pada tahun 2023.
Khidmat A-10 dijangka akan ditamatkan sepenuhnya pada tahun 2028-2029. Penamatan khidmat pesawat ini dilakukan secara berperingkat dan perlu dimaklumkan kepada Kongres.
Sebagai permulaan, Washington membenarkan sebanyak 42 buah pesawat ini ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2024. Pun begitu, Kongres telah meletakkan syarat khusus kepada USAF sebelum terus mengurangkan jumlah pesawat A-10.
Syaratnya adalah pihak USAF perlu mengemukakan rancangan bagaimana peranan CAS akan diisi oleh pesawat yang lain.
Namun begitu, ia tidak menolak realiti di mana A-10 mula ditamatkan khidmatnya selepas lebih 50 tahun beroperasi.

Penamatan khidmat A-10 dari 354th Fighter Squadron menandakan permulaan era baharu dalam USAF.
Pada 8 Februari lalu, USAF telah mula menamatkan khidmat A-10 dari 354th Fighter Squadron di Arizona. Penamatan khidmat A-10 yang pertama ini menandakan pengakhiran era pesawat ini dalam khidmat USAF.
Menurut pihak Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, pesawat A-10 tersebut diserahkan kepada 309th Aerospace Maintenance and Regeneration Group bagi melakukan prosedur penyelenggaraan akhir sebelum disimpan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 8 Februari lalu, proses penamatan A-10 di pangkalan tersebut akan melibatkan 1 skuadron pesawat.
“Pada ketika ini, kita menamatkan khidmat 1 skuadron A-10 yang dijangka akan lengkap dalam tempoh musim panas atau musim luruh (sekitar Jun-November) 2024,” kata Komander 355th Wing, Kolonel Scott Mills.
Menurut kenyataan itu, juruterbang dan petugas penyelenggaraan di pangkalan itu akan beralih kepada pengoperasian F-35. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #A10