Home Semasa Enakmen Syariah manifestasi kehendak rakyat Kelantan – AP Pasir Gudang

Enakmen Syariah manifestasi kehendak rakyat Kelantan – AP Pasir Gudang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa semua pihak untuk bersikap adil bukan sahaja kepada kerajaan kepimpinan PAS di Kelantan tetapi keseluruhan majoriti rakyat yang mahukan syiar Islam ditegakkan di negeri mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara yang melibatkan undang-undang Islam tidak boleh diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tetapi diserahkan kepada mahkamah keadilan rakyat.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu yang telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Menurutnya, Enakmen Kod Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah manifestasi kehendak majoriti rakyat Kelantan yang telah memilih kerajaan Islam pimpinan PAS dalam lapan Pilihan Raya Umum (PRU) secara berturut-turut.

“Kita akur dan menghormati keputusan Perlembagaan Persekutuan, saya yang bukan seorang anggota Pas tetapi ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat yang politiknya menyokong dasar pelbagai kaum dan agama di Malaysia supaya kita bersikap adil,

“Dalam hal ini perkataan ‘conscience’ yang disebut oleh Mahatma Gandi itu adalah relevan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, Kelantan merupakan sebuah negeri berdaulat dimana rakyatnya lebih 90 peratus rakyat Melayu beragama Islam.

“Lebih 33 tahun mereka telah memilih PAS sebuah Parti Islam yang membawa agenda untuk memertabatkan undang-undang Syariah Islam di negeri itu,

“Rakyat memilih PAS di Kelantan melalui peti undi pilihanraya, bukannya secara ugut dan paksa. PAS memerintah di negeri Kelantan melalui pilihanraya yang demokratik mengikut lunas-lunas demokrasi, bukannya melalui kekerasan,” jelasnya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, beliau mempersoalkan adakah ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang majoritinya Ahli DUN PAS sedar atau tidak bahawa rang undang-undang Enakmen yang diluluskan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

“Adakah rang undang-undang Enakmen tersebut yang dibentangkan oleh kerajaan Pas Kelantan tidak menyedari bahawa Enakmen itu boleh batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

“Saya percaya mereka sedar kerana kerajaan Kelantan bukanlah semberono dan membabi buta sengaja mahu membentangkan Enakmen tersebut di DUN Kelantan. Di belakang kerajaan terdapat penasihat undang-undang yang amat mahir dan faham hal Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 telah memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel 9 anggota selepas membenarkan permohonan 2 wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.-airtimes.my

#semasa #kelantan #mahkamah #airtimes

Related Articles

Leave a Reply