Siapa yang akan menerajui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berikutan persaraan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada jawatan pengerusi?
Raja Mohamed Affandi diumumkan bersara berkuat kuasa 8 Februari menerusi satu kenyataan media oleh LTAT.
LTAT dalam kenyataan memaklumkan, tempoh perkhidmatan Raja Mohamed Affandi bermula 2021 ditandai komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan tadbir urus korporat dana persaraan angkatan tentera itu.
Di bawah kepimpinan beliau, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan-risiko.
Sekiranya mengikut pada lantikan sebelum ini, jawatan Pengerusi LTAT kebiasaannya diisi oleh bekas Panglima ATM atau pegawai kanan yang setaraf.
Raja Mohamed Affandi dilantik memegang jawatan tersebut pada 3 Ogos 2021 menggantikan Jeneral (B) Datuk Seri DiRaja Mohd Zahidi Zainuddin.
Mohd Zahidi pula yang menerajui LTAT sejak Ogos 2018 menggantikan Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Beliau dilantik sebagai Panglima ATM pada Januari 1999 sehingga April 2005 sebelum menyertai bidang korporat.
Mohd Anwar yang menjadi Pengerusi LTAT sejak tahun 2005 setelah bersara pada 2007 merupakan Panglima ATM pertama yang dilantik daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
LTAT yang ditubuhkan pada Ogos 1972 sebagai badan berkanun di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 sebagai organisasi dana pencen untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi maksud tersebut, LTAT meneroka pelbagai cabang perniagaan dan sektor korporat
Boustead Holdings Berhad adalah cabang pelaburan kepada LTAT yang mana kumpulan perniagaan ini mempunyai lebih daripada 90 buah anak syarikat, syarikat bersekutu dan usahasama.
Selain itu, LTAT juga merupakan pemilik tiga buah perbadanan yang mempunyai kaitan langsung dengan warga ATM.
Antaranya Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang mengendalikan rangkaian kedai-kedai runcit di kem-kem tentera sejak 1983.
Seterusnya Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) yang menjalankan aktiviti hartanah sejak 1984.
Manakala Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang ditubuhkan pada 1994 merupakan penyedia pelbagai program latihan kemahiran teknikal, vokasional dan keusahawanan untuk anggota ATM.
Minggu lalu Lembaga Pengarah LTAT mengumumkan pengunduran Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkuat kuasa 31 Mac lalu.
Sementara itu, portal bisnes The Edge yang memetik sumber melaporkan, mereka yang terlibat dalam penstrukturan semula LTAT telah diarahkan untuk tidak meneruskannya.
Ini sementara menunggu semakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled menggantikan Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan susulan rombakan Kabinet Disember lalu.
Pada Mac tahun lalu, LTAT mencacatkan prestasi baik apabila mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022.
Kadar dividen pada 2022 juga merupakan kenaikan bagi lima tahun berturut-turut sejak 2018.-airtimes.my
#airtimes #LTAT #Malaysia
