Home Teknologi Pertahanan F-16 atau Gripen? Filipina terus bergelut untuk putuskan pemilihan pesawat MRCA

F-16 atau Gripen? Filipina terus bergelut untuk putuskan pemilihan pesawat MRCA

by Zaki Salleh

FILIPINA, 19 Jan – Setelah empat tahun berlalu, Filipina terus bergelut dengan keputusan untuk memperoleh pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) bagi meningkatkan keupayaan kuasa udaranya.

Daripada segi pemilikan pesawat tempur, Filipina jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau terdekat lain kerana kemampuan sedia ada tidak setanding.

Isu di Laut China Selatan selain wilayah maritim yang luas mendesak Filipina untuk memiliki pesawat MRCA.

Tentera Udara Filipina hanya bergantung pada 12 buah pesawat tempur ringan FA-50PH dengan kemampuan yang terhad.

Manila telah meluluskan peruntukan sebanyak AS$1.11 bilion bagi perolehan 12 buah pesawat MRCA sama ada F-16 Fighting Falcon buatan Amerika Syarikat (AS) atau JAS-39 Gripen C/D dari Sweden.

Washington pada 2021 pula telah memberi lampu hijau kepada Manila, malah turut menawarkan cadangan pembayaran bagi perolehan F-16 Block 70/72 baharu bernilai AS$2.43 bilion.

Malah, AS turut bersedia menawarkan pesawat terpakai F-16 varian Block 50/52 yang dinaik taraf sekiranya faktor kos menjadi isu pada Manila.

Bagaimana pun, hasrat ini nampak seakan-akan sukar disebabkan faktor kewangan.

Amerika Syarikat tawarkan pakej F-16 kepada Filipina.

Perolehan pesawat tempur ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan Horizon 3 yang berlangsung pada 2023 hingga 2028.

Disebabkan belum ada keputusan, maka rancangan pemodenan Manila ini berkemungkinan akan mengambil masa lebih panjang untuk direalisasikan.

Sweden sebelum ini dilihat bersungguh-sungguh melobi pesawat tersebut yang dilihat penting bagi mengukuhkan pasaran di luar Eropah.

Apa yang menarik ialah kesediaan Sweden untuk menawarkan pakej pembiayaan yang sesuai dengan Filipina manakala kos perolehan Saab Gripen juga lebih rendah berbanding F-16.

Selain mendapatkan pesawat baharu, Sweden juga bersedia menawarkan pesawat Saab Gripen terpakai untuk Filipina bergantung kepada apa yang dikehendaki oleh negara itu.

Sweden bersedia untuk menawarkan pakej pembiayaan yang sesuai dengan Filipina manakala kos perolehan Saab Gripen juga lebih rendah berbanding F-16.

Tawaran Sweden ialah pesawat Gripen varian C dan D yang dinaik taraf dengan teknologi sama yang digunakan pada pesawat terbaharu iaitu varian E.

Malah, Sweden juga memberi jaminan bahawa jika dipilih, ia boleh menghantar sebahagian pesawat Gripen dalam tempoh setahun selepas kontrak dimeterai.

Sepertimana Filipina yang terdesak untuk memperoleh pesawat tempur, begitu juga Sweden yang masih gagal meneroka pasaran baharu untuk pesawat Gripen.

Justeru, Sweden benar-benar meletak harapan agar Filipina menjadi pelanggan terbaharunya dan sebagai yang kedua di Asia Tenggara selepas Thailand. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply