Home Semasa Kolumnis – Perang terowong : Operasi maut IDF untuk berhadapan dengan pejuang Hamas

Kolumnis – Perang terowong : Operasi maut IDF untuk berhadapan dengan pejuang Hamas

by Zaki Salleh

Dengan angka korban tentera Israel (IDF) mencecah 392 orang semenjak 7 Oktober lalu, ia bukanlah sesuatu yang dipandang enteng oleh kepimpinan tentera negara zionis itu.

Ini kerana setiap kematian mahupun kecederaan yang dialami tentera Israel sangat sukar untuk diterima, tambahan pula ia sama sekali memberikan imej negatif kepada mereka.

Masuk minggu yang ketujuh, operasi kententeraan Israel di Gaza nampak seperti ketidak tentuan walaupun IDF kini telah memasuki ke tengah-tengah kota.

Sepertimana dijangka, IDF seboleh mungkin cuba untuk mengelak untuk bertempur secara hadapan dengan pihak lawan walaupun setelah Gaza lunyai dibedil.

Kemaraan IDF tetap dilindungi dengan kereta-kereta kebal selain kenderaan perisai serta diberi perlindungan tembakan artileri.

Fasa seterusnya bagi IDF ialah untuk menumpukan operasi bagi mengesan dan memusnahkan rangkaian terowong bawah tanah yang dikatakan melindungi pejuang Hamas.

IDF sendiri tidak menjangkakan operasi tersebut mudah, malah memandangkan ia bakal memakan tempoh sebulan.

Peperangan terowong atau ‘tunnel warfare’ ini juga akan memberikan cabaran kepada IDF apatah lagi untuk beroperasi dalam persekitaran yang bukan kelaziman mereka.

Peperangan terowong bukanlah baharu, malah hampir dalam kebanyakan konflik atau perang akan ada penggunaan terowong.

Ia sama ada bagi tujuan perlindungan, laluan perhubungan dan sebagainya.

Paling kompleks ialah semasa Perang Dunia Pertama sehinggalah kepada konflik bersenjata di Ukraine.

Semasa PerangVietnam, tentera Vietnam Utara dan gerila Vietkong menggunakan rangkaian terowong untuk melindungi laluan bekalan, pasukan tentera dan pangkalan mereka di tempat-tempat yang strategik.

Untuk melaksanakan operasi ini pula ia bukan boleh dilakukan oleh pasukan biasa atau infantri biasa, sebaliknya perlukan pasukan yang terlatih.

Belajar daripada pengalaman pelbagai operasi lampau, IDF dikatakan telah membina kemampuan untuk melancarkan operasi sedemikian.

Terdapat unit khusus seperti Yahalom (IDF Combat Engineering Corps) iaitu komando elit yang mana mereka dilatih sebagai unit pakar dalam mencari, membersihkan dan memusnahkan terowong.

Pasukan besar termasuk unit bawahan seperti Sayfan, yang berlatih untuk menangani ancaman senjata bukan konvensional, Samur, yang pakar dalam memasuki, membersihkan dan memusnahkan terowong.

Yahalom juga sering mengeksploitasi beberapa teknik dan taktik selain sering menguji serta membangunkan cara baharu untuk menangani pertempuran dalam terowong.

IDF juga mempunyai unit anjing pengesan,  Oketz dengan haiwan yang dilatih untuk beroperasi di bawah tanah atau terowong.

Mereka juga telah mencipta perkakasan khusus seperti gogal penglihatan termasuklah teknologi navigasi yang berfungsi di bawah tanah.

Lebih daripada itu, IDF ada membangunkan robot kawalan jauh untuk masuk dan melihat

ke dalam terowong untuk membuat pemetaan (mapping) tanpa membahayakan nyawa tentera.

IDF juga menggunakan simulator latihan realiti maya yang membolehkan tenteranya berlatih untuk melaksanakan peperangan bawah tanah walaupun mereka tidak berada di persekitaran sebenar.

Bagaimana pun, kemampuan sebenar IDF untuk menghadapi ancaman peperangan terowong ini hanya dapat diketahui apabila mereka berhadapan dalam situasi sebenar.

Di atas kertas, nampak sukar untuk IDF menghadapi lawan sebegini, malah mereka sendiri tidak mempunyai maklumat jelas tentang kedudukan rangkaian terowong Hamas.

IDF juga terlalu bergantung kepada maklumat perisikan yang mana perkara itu juga sangat subjektif jika melihat kepada strategi perang dilaksanakan.

Jika silap langkah, perang terowong akan menjadi operasi bunuh diri kepada tentera Israel

#AirTimes #Malaysia #Kolumnis

Related Articles

Leave a Reply