IPOH 10 NOV – Penubuhan 69 Komando bertitik tolak daripada cetusan idea Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman berikutan ancaman pengganas komunis.
Beliau melihat perlunya sebuah pasukan khas diwujudkan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) bagi menghadapi ancaman subversif berikut kebangkitan semula PKM pada tahun 1968.
Daripada ribuan yang diuji, 60 dipilih menjalani latihan asas dikendalikan unit komando tentera British, Special Air Service Regiment (SAS) yang mana cuma 30 menamatkan latihan.
Secara rasminya tanggal 23 Oktober 1969 merupakan tarikh penubuhan pasukan ini.
Bermula dengan satu terup pada tahun tersebut, kemudiannya berkembang membentuk Batalion 69 Komando PPH sehinggalah kini dikenali sebagai 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Lebih istimewa pada sambutan ulangtahun kali ini apabila ia diadakan di kem baharu yang telah siap diduduki.
Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta ini menjadi rumah tetap 69 Komando setelah sepanjang penubuhannya ditempatkan di Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta.
Projek pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan 69 Komando ini menelan kos keseluruhan berjumlah RM203 juta di kawasan seluas 161.874 hektar.
Ini juga menjadikan ia sebagai pusat latihan komprehensif dan lengkap yang pertama dibina di negara ini khusus untuk unit 69 Komando.
Antaranya mempunyai fasiliti padang sasar terpanjang di Malaysia iaitu 1.2 kilometer (km).
Menyuntik semangat warga 69 Komando ialah kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada perbarisan
Sambutan Hari Ulangtahun 69 Komando ke-54 yang diadakan di padang kawad pasukan itu.
Menjadi kebanggaan apabila Ayob Khan menerima beret kehormat 69 Komando yang dipakaikan oleh Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim.
Terdahulu majlis dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan pegawai dan anggota 69 Komando berserta panji-panji pasukan tersebut.
Pada majlis sama juga turut diadakan upacara penutup Kursus Asas 69 Komando Siri 1/2023
melibatkan seramai 36 pelatih termasuk dua pegawai.
Kesemua mereka berjaya menamatkan latihan lasak selama 19 minggu bermula 12 Jun hingga 4 November.
Ayob Khan kemudian telah menyempurnakan pemakaian beret 69 Komando bersama benet sebagai tanda pengiktirafan kesemua pelatih yang berjaya menganggotai pasukan elit itu.
Mulanya seramai 134 menghadiri sesi ujian dan pemilihan awal tetapi hanya 73 orang layak mengikuti kursus seterusnya.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Negara memberitahu, 69 Komando relevan dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
“Kesiapsiagaan diri dalam ilmu peperangan khas serta komitmen yang tinggi daripada warga 69 Komando amatlah diperlukan sebagai persediaan untuk diatur gerak di mana jua dan pada bila-bila masa sekali pun.
“Saya menyeru kepada semua warga VAT 69 agar tidak mudah leka atau bersikap puas hati atas pencapaian yang telah dikecapi sebelum ini.
“Lengkapkanlah diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, kecekapan dan kemahiran melalui program-program latihan serta kursus untuk melahirkan ‘high value individuals’ dalam unit ini.
“Jadikanlah kejayaan yang lalu sebagai pendorong serta pembakar semangat untuk kita terus maju dan lebih cemerlang lagi di masa hadapan,” katanya. – airtimes.my
#PDRM #VAT69 #Keselamatan