Home Semasa #Semasa: Anwar Ibrahim jawab isu ‘lepas tanpa bebas’ Zahid hari ini?

#Semasa: Anwar Ibrahim jawab isu ‘lepas tanpa bebas’ Zahid hari ini?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Persoalan ahli parlimen pembangkang mengenai keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan dijawab pada hari ini.

Persoalan tersebut dijangka akan dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, beberapa ahli parlimen pembangkang menyuarakan persoalan isu tersebut kepada Menteri Undang-undang dan Reformasi, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika beliau menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat.

Azalina menyatakan persoalan NDAA Zahid akan dijawab pada pukul 2.30 petang hari ini oleh Perdana Menteri.

“Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) bertanyakan sama ada Perdana Menteri akan menjawab,

“Tuan punya badan ada di sini, buat tangan ‘good’ itu dia (Anwar) akan jawab esok, Insya-Allah pukul 2.30 hingga 3 petang,

“Jadi soalan-soalan itu boleh tanya kepada Perdana Menteri, tetapi komitmen daripada kita akan menentukan bahawa kita perlu berlaku adil,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September lalu telah memutuskan pelepasan tanpa membebaskan Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Keputusan dibuat selepas pihak pendakwaan kes mengemukakan permohonan mahkamah supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan dari kesemua pertuduhan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah dibicarakan 8 tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram yang membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ketika keputusan dibuat, perbicaraan di peringkat pembelaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply