Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahahan: 387 perajurit Siri 66/23 jadi generasi baharu TUDM

#Pertahahan: 387 perajurit Siri 66/23 jadi generasi baharu TUDM

by Zaki Salleh

IPOH, 3 SEPT – Seramai 387 pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 66/23 bertempat di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh.

Upacara perbarisan ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Perbarisan membabitkan Flait Alpha, Bravo dan Charlie itu diketuai Perajurit Muda Udara (PjM U) Muhammad Azmin Hakimi Mohd Adzmi.

Pada perbarisan tersebut, PjM U Muhammad Azmin Hakimi Mohd. Adzmi, 20, telah diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Anugerah Akademik Terbaik pula telah disandang PjM U Fradza Anak Nita, 20.

Panglima Tentera Udara yang diiringi oleh Komandan Akademi Tentera Udara, Kolonel Rafiddee Dollah telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada penerima.

Kesemua pelatih telah memulakan latihan pada 6 Mac hingga 8 Septemberi yang berlangsung selama selama 24 minggu.

Mereka melalui tiga fasa latihan iaitu latihan asas ketenteraan, pelajaran serta akademik dan latihan, ujian praktikal serta pembentukan Sahsiah.

Selepas menamatkan latihan ini, mereka akan ditempatkan dalam ketukangan/tred masing-masing di pasukan-pasukan yang telah ditetapkan sebagai permulaan karier sebagai anggota TUDM.

Sementara itu, Mohd Asghar Khan dalam ucapannya berpesan agar kesemua PjM U gigih berusaha untuk meningkatkan tahap kepakaran, kompetensi dan pengetahuan demi memenuhi aspirasi menjadi anggota TUDM.

Beliau turut mengingatkan generasi baharu TUDM itu supaya mengekalkan sikap positif dan komitmen yang tinggi dalam mengutamakan kepentingan perkhidmatan dan negara melebihi kepentingan peribadi.

“Tidak lupa juga kepada para ibu bapa dan keluarga PjM U, syabas dan tahniah diucapkan atas sokongan dan dorongan berterusan yang diberikan.

“Sokongan yang diberikan penting kepada PjM U yang berjaya mengharungi dan menjalani latihan asas ketenteraan dengan penuh kesabaran dan kecekalan,” ujar beliau dalam ucapannya.

Turut hadir Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Shahada Ismail dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani Zainal Abidin. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply