Home Semasa #Semasa: Langkawi semakin sepi, industri pelancongan kian malap

#Semasa: Langkawi semakin sepi, industri pelancongan kian malap

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=smUMD-Ndk1Y[/embedyt]

LANGKAWI, 11 OGOS – Kekurangan kemasukan pelancong menimbulkan sedikit kebimbangan kepada penduduk Langkawi.

Pulau Lagenda yang terletak di barat daya tanah air ini kaya dengan sejarah dan pernah menarik kehadiran pelancong dari dalam serta luar negara.

Namun begitu, kehadiran pelancong ke pulau peranginan ini agak berkurangan berbanding dengan situasi sebelum COVID-19 melanda dunia dan juga Malaysia.

Perkara ini disuarakan oleh seorang pengusaha kedai makanan di Langkawi, Md Zainal Md Saad ketika ditemui oleh Air Times.

Menurut beliau, walaupun sektor pelancongan kembali beroperasi semenjaknya tamat sekatan perjalanan, Langkawi berhadapan dengan situasi yang agak berbeza.

“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, memang ramai pelancong datang ke Langkawi,

“Semasa PKP, sememangnya tiada pelancong yang masuk ke Langkawi berikutan sekatan pergerakan,

“Selepas tamatnya sekatan perjalanan, pelancong mula kembali beransur-ansur mengunjungi Langkawi,” katanya.

Menurut beliau, kemuncak kehadiran pelancong yang paling ramai adalah ketika Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 diadakan pad akhir Mei lalu.

Semenjak pameran dwitahunan itu tamat, bilangan pelancong semakin berkurangan.

“Selepas LIMA 2023, kehadiran pelancong mulai semakin perlahan,

“Boleh dikatakan terlalu perlahan berbanding sebelumnya,” kata Zainal.

Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan sektor tersebut mengalami kadar yang amat perlahan.

“Mungkin mereka (pelancong) terkesan dengan pengangkutan ataupun feri,

“Dan ada juga berikutan peningkatan kos,” ujar beliau.

Md Zainal merupakan antara pengusaha tempatan di Langkawi yang menyaksikan perubahan kadar pelancong yang melanda Pulau Lagenda. Foto: Air Times/Muaz

Zainal menambah, perkara ini menimbulkan kebimbangan kerana kekurangan pelancong memberi impak kepada kitaran ekonomi setempat.

Malah, peningkatan harga bahan mentah dan tekanan ekonomi dari luar turut memaksa beberapa pengusaha tempatan menaikkan harga di samping menjimatkan perbelanjaan bagi mengimbangi kos.

Jelasnya, keadaan kos sara hidup dan operasi perniagaan yang tinggi telah menyebabkan sejumlah perniagaan terpaksa menutup kedai mereka.

“Memang kos sara hidup terlalu tinggi sangat sehingga ada restoran dan juga kedai baju menutup perniagaan mereka,

“Banyak kedai yang tutup di Langkawi atas beberapa faktor antaranya sewaan dan juga mungkin pendapatan mereka tak mencapai tahap yang sepatutnya,” kata beliau.

Zainal yang menetap di Langkawi hampir 20 tahun telah mengusahakan kedai makanan beliau semenjak 3 tahun lalu. Beliau juga merupakan antara bekas pekerja hotel yang terkesan dengan penutupan sempadan akibat COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020.

Beliau menjelaskan Langkawi turut berhadapan kekurangan tenaga kerja dari golongan muda kerana ramai yang memilih untuk berhijrah ke lokasi lain bagi mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan.

“Terdapat banyak potensi yang boleh dikembangkan di Langkawi, tetapi perkara ini terhalang dengan beberapa perkara yang mungkin menolak minat mereka,

“Kalau boleh, kita permudahkanlah urusan anak-anak jati Langkawi untuk mengembangkan usaha mereka,” katanya.

Menyentuh pembangunan di Langkawi, Zainal mengharapkan isu yang membelenggu Pulau Lagenda dapat ditangani dengan baik oleh pihak berwajib.

“Saya berharap beban penduduk Langkawi dapat diatasi terutamanya pelancongan dan kos sara hidup,

“Diharapkan isu ini akan dipermudahkan demi penduduk Langkawi,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply