Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: MILDEF akan bekalkan HMAV Tarantula kepada ATM

#Pertahanan: MILDEF akan bekalkan HMAV Tarantula kepada ATM

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Media pertahanan global, Jane’s dipetik melaporkan Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) akan membekalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) Tarantula kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber rasmi syarikat Mildef kepada pihak Jane’s yang mana beritanya disiarkan dalam laman portal Jane’s itu semalam.

Menurut sumber tersebut, penghantaran kenderaan akan dibuat bermula tahun 2024. Ia melibatkan sebanyak 178 buah kenderaan manakala spesifikasi lengkap termasuk sistem persenjataan tidak dinyatakan.

Sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenainya sama ada oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) atau ATM.

Sepertimana diketahui, HMAV Tarantula turut bersaing dalam program penggantian kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor 4×4.

Kerajaan tahun lalu telah mengumumkan peruntukan bagi melaksanakan perolehan 136 kenderaan jenis A 4×4 bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.

Jumlah 136 buah itu juga bukan angka sebenar jika hendak menggantikan Radpanzer Condor melainkan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Sehingga kini keputusan akhir mengenainya belum dimuktamadkan.

Air Times pada Jun lalu menyiarkan artikel tentang HMAV Tarantula ini yang antara lain membincangkan tentang apa yang telah dilakukan oleh pihak Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) dalam usaha memacu industri pertahanan tempatan.

Sekiranya industri ini disokong kerajaan tidak mustahil syarikat tempatan seperti MILDEF berupaya membangunkan industri automotif pertahanan yang lebih hebat termasuk membina kereta kebal pada masa mendatang.

Sebab itu, apabila munculnya syarikat tempatan ini yang mengetengahkan model kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) Tarantula, umum memberikan perhatian.

HMAV 4×4 Tarantula bukan saja-saja dibina, ia dibangunkan dengan tujuan untuk ditawarkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai salah sebuah kenderaan tempur.

MILDEF wajar diberikan peluang apabila berani membuat pelaburan untuk masuk dalam segmen automotif pertahanan atau lebih khusus lagi untuk menjadi pengeluar kenderaan perisai.

HMAV 4×4 Tarantula juga telah membuat kemunculan di luar negara apabila dipamerkan pada pameran Indo Defence 2022 di Jakarta International Expo.

Ia diikuti dengan penglibatan MILDEF pada Vietnam Defense Expo 2022 di Hanoi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply