Home Semasa #Semasa: Anwar tunjuk bukti hapus hutang FELDA, gesa Muhyiddin mohon maaf

#Semasa: Anwar tunjuk bukti hapus hutang FELDA, gesa Muhyiddin mohon maaf

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Jul – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji dengan mengemukakan dokumen perjanjian yang ditandatanganinya bagi penghapusan hutang peneroka FELDA sebanyak RM990 juta.

Dalam kenyataan ringkas di media sosialnya, beliau telah menyertakan Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) berkait jaminan kerajaan kepada FELDA yang ditandatanganinya.

“Justeru, saya mendesak Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan kepada saya,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataannya yang mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan bawah pentadbiran bekas perdana menteri itu.

Tuntutan itu dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Dalam tempoh 24 jam, Presiden Pakatan Harapan (PH) itu telah mengemukakan dokumen itu selepas menghubungi Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bagi menyerahkan bukti tersebut sebelum berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi 2 hari ke negara itu.

Anwar menunaikan janjinya untuk mengemukakan dokumen yang telah ditandatanganinya itu sebelum jam 12 tengah hari ini sebagai menyahut cabaran Muhyiddin.

“Kalau saya tunjuk bukti, saya hendak mereka minta maaf secara terbuka,” katanya seperti dilapor media pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan fitnah tersebut dalam tempoh 24 jam, selain memohon maaf tanpa syarat dan secara terbuka.

Ia sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan peguam Muhyiddin dalam surat tuntutan bertarikh semalam, yang turut memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk mendedahkan dokumen atau surat yang ditandatanganinya bagi melupuskan hutang peneroka.

Sementara itu, Kementerian Kewangan mengesahkan perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh Anwar pada 26 Jun 2023.

“Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada FELDA untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan agensi itu.

“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun,” jelas Kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, MOF juga mengesahkan penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply