Home Semasa #Diskusi: Kolumnis – Armada TLDM umpama ‘tempang’ tanpa sokongan kapal MRSS

#Diskusi: Kolumnis – Armada TLDM umpama ‘tempang’ tanpa sokongan kapal MRSS

by Zaki Salleh

Semasa Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi (LIMA 2023) Mei lalu,  hampir semua industri pertahanan maritim yang hadir tampil mempertaruhkan rekaan kapal sokongan logistik atau mengikut istilah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipanggil sebagai kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) masing-masing.

Dalam soal nama, ia cuma satu istilah yang mana kapal-kapal dalam kategori ini mempunyai pelbagai bentuk dengan kecanggihan sistem yang dipasang.

Bagaimana pun, fungsinya adalah sebagai kapal yang ditugaskan membawa bekalan atau logistik untuk belayar dari titik A ke titik B dan begitulah seterusnya.

Selari dengan kemajuan teknologi dan masa, kapal MRSS tidak lagi wajib berbentuk besar sebaliknya ada rekaan yang menyerupai sebuah kapal perang biasa cuma mempunyai ruang kargo yang besar.

Walaupun secara dasarnya TLDM memutuskan untuk menangguhkan perolehan kapal jenis ini bagi memberi keutamaan kepada perkara lain namun, ia tidak bermakna program MRSS senyap.

Jumlah ideal bagi TLDM ialah lima buah dengan dua ditempatkan di Sabah Sarawak. Angka ini bagaimana pun adalah subjektif, selain bergantung kepada apa jenis kapal MRSS yang ingin dimiliki serta belanjawan keseluruhan.

Tidak seperti pengangkutan udara, kapal ini boleh membawa muatan lebih banyak.

Selain membawa bantuan, ciri-ciri pada sebuah kapal sokongan logistik yang bersaiz besar membolehkan ia diperanankan sebagai hospital terapung, kapal induk dan pangkalan hadapan.

MRSS penting dalam menyokong misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).

Operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW) ini menjadi sebab mengapa kapal sokongan logistik perlu ada pada sesebuah angkatan laut seperti TLDM.

Justeru, pemilikan aset-aset baharu seperti ini mampu melonjakkan kemampuan TLDM melaksanakan operasi dengan lebih efektif selain tidak ketinggalan berbanding angkatan laut serantau.

Kali terakhir TLDM memiliki kapal sokongan logistik yang besar ialah kira-kira 13 tahun lalu sebelum kapal berkenaan, KD Sri Inderapura ditamatkan perkhidmatan susulan insiden kebakaran.

Musnahnya kapal KD SRI INDERAPURA dalam satu kebakaran memberikan kesan yang amat besar terhadap khidmat logistik TLDM.

Kapal pendarat kelas Newport buatan Amerika Syarikat ini merupakan perolehan yang terbaik bagi TLDM sepanjang 14 tahun berkhidmat dengan memainkan peranan cemerlang termasuk menghantar bekalan dalam misi antarabangsa.

Sejak kehilangan kapal ini, bukan rahsia apabila TLDM terpaksa bergantung sepenuhnya pada khidmat KD Mahawangsa dan KD Sri Indera Sakti.

Dalam usia 40 tahun, kedua-dua kapal MRSS ini masih dikerah dan mampu melaksanakan tugas termasuk melakukan pelayaran jarak jauh.

Tahun lalu, KD Mahawangsa telah melaksanakan misi ulang bekal iaitu menghantar bekalan logistik kepada pasukan MALBATT) 850 di Beirut, Lubnan. Ia membawa enam buah trak, dua buah trak kecil, sebuah ambulan, peluru dan bahan letupan, peralatan komunikasi.

Dengan berat sekitar 4,300 tan, kapal ini boleh membawa sama ada 500 tentera atau kenderaan dengan ruang kargo seluas 1,000 meter padu dan 680 meter persegi ruang kenderaan. Ia juga mempunyai platform untuk helikopter sederhana.

Dalam program transformasi 15 to 5 TLDM memerlukan tiga buah kapal MRSS untuk menyokong operasinya di laut.

Jika mengikut perancangan sepertimana yang diumumkan TLDM pada tahun 2019, dua kapal pertama akan diperoleh dalam tahun  2021-2025 manakala yang ketiga menjelang 2035.

Bagaimana pun, melihat pada situasi semasa rumit untuk memberi bayangan bilakah program MRSS hendak dilaksanakan memandangkan kerajaan juga baru memuktamadkan pembinaan semula kapal tempur pesisir (LCS).

Peluang terbaik TLDM untuk mendapatkan kapal MRSS ialah kira-kira tujuh tahun lalu apabila  cadangan perolehan MRSS buatan Indonesia menerusi kerjasama antara PT PAL Indonesia dengan pihak Boustead Naval Shipyard (BNS) pada tahun 2016.

BNS telah mengemukakan cadangan kepada TLDM untuk membina kapal MRSS berdasarkan rekaan kapal kelas Makassar.

Kapal kelas ini dengan berat 12,400 tan dikendalikan 150 kru boleh membawa 35 buah kenderaan infantri, kereta kebal, 350 anggota tentera dan mempunyai kemudahan untuk menampung sehingga 500 penumpang.

Ia juga boleh membawa lima buah helikopter saiz sederhana.  PT PAL Indonesia membina kapal kelas Makassar berasaskan rekaan firma Korea Selatan iaitu Daesun Shipbuilding & Engineering Co.

Tentera Laut Filipina juga memilih kapal kelas ini apabila PT PAL Indonesia memenangi kontrak perolehan dua buah kapal kelas Tarlac pada tahun 2013 yang kini telah pun disiapkan.

Kapal LPD kelas Makassar adalah dibina oleh syarikat pertahanan Indonesia, PT PAL berasaskan rekaan firma Korea Selatan iaitu Daesun Shipbuilding & Engineering Co.

Disebabkan keperluan yang mendesak, TLDM mengambil langkah alternatif apabila menjadikan dua buah kapal kontena sebagai kapal sokongan logistik atau dipanggil sebagai kapal auksiliari (auxiliary ship).

Ia bukanlah konsep baharu pada tentera laut, malah telah digunakan sebelum Perang Dunia Kedua lagi yang mana kapal auksiliari berperanan sebagai kapal sokongan bagi sesebuiah kapal perang atau armada.

Kapal auksiliari bukanlah sepertimana sebuah kapal perang tetapi ada dilengkapi dengan persenjataan ringan bagi tujuan pertahanan.

Kapal Auksiliari Bunga Mas Lima (BM 5) dan Bunga Mas Enam (BM 6) adalah hasil kerjasama strategik TLDM dengan syarikat perkapalan Malaysian International Shipping Corporation (MISC).

BM 5 dan BM 6 yang bersaiz 132.8 meter panjang dan mempunyai lebar 22.7 meter berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot.

Kapal ini turut dilengkapi dengan ‘hangar’ bagi menempatkan helikopter dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif apabila diperlukan.

Kapal auksiliari masih mempunyai kemampuan yang terhad kerana rekabentuknya bukanlah sebuah kapal untuk operasi ketenteraan sebenar.

Tentera Laut China (PLA) sebagai contoh mengoperasikan armada besar kapal-kapal auksiliari  yang menyediakan logistik dan sokongan pada semua kawasan termasuk di Laut China Selatan. Kapal-kapal ini memainkan peranan penting dalam mencerminkan keupayaan PLA.

Bukan sahaja untuk membawa bekalan, sebaliknya PLA mengoperasikan kapal auksiliari sebagai kapal pendaratan, hospital terapung, kapal tangki minyak dan membekalkan air bersih bagi pelayaran jarak jauh.

Kajian kesesuaian ke atas cadangan yang diterima daripada beberapa negara bagi memenuhi keperluan MRSS TLDM pula telah dilaksanakan sejak 17 tahun lalu.

Justeru, pelbagai jenis dan bentuk serta spesifikasi kapal kelas ini dipertimbangkan.

Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai wilayah dipisahkan oleh Laut China Selatan, maka MRSS adalah aset strategik kepada negara memandangkan keperluannya yang pelbagai.

Related Articles

Leave a Reply