Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Kalimah ‘Allah’: Jemaah Menteri Dr M putuskan selesai luar mahkamah – Loke

Kalimah ‘Allah’: Jemaah Menteri Dr M putuskan selesai luar mahkamah – Loke

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Penyelesaian kes kalimah ‘Allah’ di luar mahkamah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri ketika dibawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan bukan atas permintaan parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaitkan DAP dalam isu kalimah adalah tidak adil.

“Siapa yang dia (Muhyiddin) maksudkan? Pada ketika itu saya juga ada dalam Kabinet dan saya tak pernah bangkitkan isu itu,

“Malah, keputusan untuk cuba selesaikan isu itu di luar mahkamah sebenarnya keputusan Kabinet dan mungkin dia tak hadir ketika mesyuarat Kabinet yang membuat keputusan itu,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Nama Baru Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mahu ia dibawa ke Mahkamah Tinggi yang kemudian memutuskan penggunaan kalimah ALLAH dibenarkan kepada penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Justeru katanya, tidak sepatutnya Muhyiddin meletakkan beban itu kepada DAP saja dan ia jelas ada tujuan politik tertentu.

“PN tiada modal selain memainkan atau mengapikan sentimen perkauman dan agama,

“Seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri yang kabinet secara tegas mempertahankan bahawa isu agama perlu ditangani dengan sensitif dan baik,” tambahnya lagi.

Semalam, Muhyiddin mendakwa terdapat menteri DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Muhyiddin berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada 2021, namun kerajaan PN pada ketika itu berpendirian keputusan kes tersebut mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah,” katanya dalam satu kenyataan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply