Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Tun M tinggalkan GTA, tumpu pada Proklamasi Orang Melayu

Tun M tinggalkan GTA, tumpu pada Proklamasi Orang Melayu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini telah meninggalkan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan tahun lepas.

Tun Mahathir berkata, keputusan itu dibuat selepas GTA gagal menunjukkan keputusan yang baik semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, apabila kesemua 168 calon GTA yang bertanding hilang deposit masing-masing.

“(Jawatan Pengerusi GTA) yang itu (perkara) lama… (kini saya) tidak ada (sebarang jawatan), (matlamat penubuhan) GTA tidak jadi, (GTA) tidak membantu kita (untuk menang pilihan raya), kerana ia (berbentuk) parti,

“Kita dapati kalau (bergerak) sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan pada PRU15, GTA dan Pejuang kalah 125 kerusi (selain hilang deposit),” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Menurutnya, beliau kini akan bergerak melalui platform Proklamasi Orang Melayu serta tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

Tambahnya, projek semasanya ialah kempen tandatangan Proklamasi Rakyat Malaysia yang telah menarik sokongan ahli politik Perikatan Nasional (PN) seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ketua Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Platform itu, jelasnya, mampu memberikan kesedaran kepada orang Melayu tentang nasib mereka yang dilihat sudah hilang taring di negara sendiri.

Pada Ogos tahun lepas, Tun Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, yang dianggotai PEJUANG, 2 parti kecil dan profesional Melayu untuk bertanding dalam PRU-15 pada November.

Malangnya, semua calonnya kecundang dan hilang wang deposit, termasuk Mahathir dan anaknya, Mukhriz yang mendapat kurang 1/8 undi di kerusi Parlimen Langkawi dan Jerlun.

Kemudian, Mukhriz memaklumkan, PEJUANG meninggalkan GTA pada Januari lepas, setelah mengambil kira pandangan ahli-ahlinya ekoran kekalahan teruk parti itu pada PRU-15.

Sebulan kemudian, Mahathir bersama 13 pemimpin PEJUANG lain meninggalkan parti itu kerana tidak bersetuju dengan tindakannya meninggalkan GTA. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply