Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

APMM Terengganu rampas rokok putih bernilai RM1.2 juta

by Muaz Rizqi

KUALA TERENGGANU, 10 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok putih di muara Sungai Setiu, Setiu, semalam.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata, aktiviti penyeludupan itu dikesan kira-kira 5.30 pagi berdasarkan maklumat risikan selama beberapa hari.

Menurut beliau, sebuah bot APMM telah dikerah bagi melaksanakan Operasi Khas Seludup Rokok Putih (Op Serop) di lokasi yang dikenal pasti iaitu di perairan Besut dan maklumat itu kemudiannya disalurkan ke pasukan APMM di darat untuk melakukan penahanan.

“Hasil rondaan telah mengesan sebuah bot pancung enjin sangkut bergerak dalam keadaan yang agak mencurigakan,

“Menyedari kehadiran bot APMM, suspek yang berada di dalam bot berkenaan melarikan diri dengan memasuki kawasan cetek untuk meloloskan diri,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Terengganu di sini hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata suspek tersebut telah melarikan diri dengan terjun ke dalam air dan gagal dikesan memandangkan keadaan persekitaran waktu itu yang sangat gelap.

“Bagaimanapun pasukan APMM darat berjaya mengesan sebuah lori 5 tan dalam keadaan mencurigakan di kawasan sekitar muara Sungai Setiu,

“Pemeriksaan menemukan 200 kotak besar rokok putih seludup yang dibalut dengan plastik hitam dalam lori berkenaan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pihak APMM mendapati sumber rokok terbabit yang dipercayai untuk edaran dalam Terengganu.

Khairulanuar turut menegaskan bahawa APMM Terengganu akan meningkatkan kawalan di sekitar perairan negara untuk membendung aktiviti pencerobohan dan penyeludupan yang semakin berleluasa. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!