GEORGETOWN, 28 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang telah menahan 2 bot nelayan Indonesia di kedudukan 45 dan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak berkata, kapal ronda APMM melakukan penahanan ke atas 2 buah bot nelayan itu ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI pada jam 11.40 pagi serta 12.10 tengahari.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot pertama dikendalikan oleh 4 kru manakala bot kedua 5 kru dan kesemua mereka merupakan warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan antara 17 hingga 41 tahun,
“Kedua-dua bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara. Manakala pemeriksaan lanjut mendapati, mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Abd Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Tambah beliau, kedua-dua bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.