Home Semasa Beting Patinggi Ali: Jangan sebut tuntutan bertindih, itu hak kita – Menteri Luar

Beting Patinggi Ali: Jangan sebut tuntutan bertindih, itu hak kita – Menteri Luar

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ltE4kKIlQAc[/embedyt]

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan kawasan Beting Patinggi Ali yang dituntut oleh negara asing tidak boleh disebut sebagai tuntutan bertindih.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya minta Ahli-ahli Dewan jangan sama sekali guna istilah disputed area (tuntutan bertindih),” katanya selepas menjawab celahan dari wakil rakyat Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pada masa yang sama, Zambry menyuarakan bahawa beliau setuju dengan pandangan Shahidan bahawa kawasan Beting Patinggi Ali tidak boleh disebut sebagai kawasan tuntutan bertindih kerana ia merupakan hak Malaysia.

Menteri Luar menjelaskan penggunaan perkataan disputed area tidak boleh digunakan dalam isu ini.

Jelasnya, penggunaan perkataan tersebut secara tidak langsung memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk menyatakan bahawa Malaysia tidak yakin dengan kedudukan negara di kawasan tersebut.

“Ini merupakan soal kedaulatan negara kita,” katanya.

Pada masa yang sama, Zambry menyatakan pihak Wisma Putra telah meminta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk mengambil tindakan yang perlu bagi mengesahkan sempadan negara serta koordinat kapal-kapal di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Luar turut menyatakan pihak Wisma Putra mengambil serius akan isu pencerobohan kapal-kapal asing dalam Zon Maritim Malaysia.

“Kementerian Luar bersama agensi Majlis Keselamatan Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia sentiasa komited dan memberikan perhatian khusus kepada isu pencerobohan negara serta memastikan sumber ekonomi negara dan laut tidak dieksploitasi oleh negara asing,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply