PASIR PUTIH, 15 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 410,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM428,450.00 di Tumpat, Ahad lalu.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pasukan peronda APMM yang sedang beroperasi telah menerima maklumat mengenai cubaan membawa masuk rokok disyaki tidak berkastam.
“Melalui hasil risikan tersebut, pasukan APMM telah mengesan sebuah bot pancung di dalam keadaan yang mencurigakan bergerak perlahan memasuki kawasan muara Tumpat,
“Pasukan APMM kemudiannya telah mengekori bot pancung berkenaan sehingga berdekatan Galeri Tengku Anis, Pengkalan Kubor bagi memantau bot tersebut. Hasil pemantauan mendapati bot pancung berkenaan sedang memindahkan bungkusan plastik hitam ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Syed Nor Adli berkata, suspek melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota APMM.
Tambahnya, anggota peronda bertindak mengejar bot pancung berkenaan namun terpaksa dihentikan setelah suspek berjaya memasuki sempadan Negara Thailand.
“Seterusnya, pasukan APMM berpatah balik ke lokasi pemindahan bungkusan plastik hitam. Tim darat turut digerakkan untuk membuat pemeriksaan,
“Hasil pemeriksaan mendapati 41 bungkusan plastik hitam yang mengandungi rokok putih disyaki tidak bercukai dipercayai diseludup daripada negara jiran. Kesemua bungkusan ini mengandungi lebih kurang 410,000 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM428,450.00 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama beliau menegaskan, APMM Kelantan akan terus komited memastikan perairan negeri Kelantan terpelihara daripada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang, salurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070. -airtimes.my