KUANTAN, 6 Feb – Seramai 2 pegawai dan 47 anggota dari Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD (Mek)) di bawah naungan Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd (Mek)) diaturgerak bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Sungai Lembing pada hari ini.
Pihak 12 RAMD (Mek) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, anggotanya melaksanakan tinjauan dan membantu menyelamatkan mangsa banjir di sekitar Taman Tas, Pandan Damai, Kampung Jaya Gading, Taman Mahkota Jaya dan juga Gudang Rasau.
“Pasukan sentiasa bersiap sedia dalam membantu orang awam di KTJ apabila amaran hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di KTJ Kuantan dan Maran bermula pada 6 Feb 2023,
“Aktiviti tersebut sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam,” jelas pihak 7 Bgd lagi.
Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyaksikan daerah Kuantan di Pahang mula dilanda banjir.
Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Kuantan, sebanyak 6 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi di daerah ini sehingga jam 1 petang tadi.
PPS Dewan Dato Manan dekat Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan menempatkan jumlah penduduk terjejas banjir paling ramai dengan 140 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 560 mangsa.
Dewan Wisma Belia Indera Mahkota pula menempatkan 92 KIR dengan 300 mangsa.
Lain-lain PPS ialah Dewan Orang Ramai Sri Damai (12 KIR dengan 57 mangsa), Dewan Orang Ramai Jaya Gading (11 KIR dengan 30 mangsa), Dewan Orang Ramai Sri Mahkota (32 KIR dengan 143 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Taman Tas yang menempatkan 55 KIR dengan 220 mangsa. -airtimes.my