Home PolitikPAS /PPBM / LAIN UMNO: Tindakan ‘pembersihan’ hanya hasilkan lebih banyak kotoran – Annuar Musa

UMNO: Tindakan ‘pembersihan’ hanya hasilkan lebih banyak kotoran – Annuar Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan UMNO yang melakukan pemecatan dan penggantungan kepimpinan serta beberapa ahlinya malam tadi tidak mampu untuk ‘membersihkan’ parti itu.

Sebaliknya, Annuar berkata, tindakan yang dilakukan parti berkenaan itu hanya akan menghasilkan lebih banyak ‘kotoran’ kerana punca sebenar ‘kotoran’ masih kekal berpaut dalam UMNO.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yang mereka reka sendiri,

“Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, UMNO mengumumkan pemecatan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama 6 tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan

Annuar yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh meluahkan rasa bangga kepada pemimpin parti yang sanggup berhadapan risiko untuk berkata benar demi memperbaiki parti daripada terus rosak.

Menurut Presiden Muafakat Nasional (MN) itu, walaupun pemimpin tersebut dikenakan tindakan oleh parti, mereka tidak harus gusar kerana masih terdapat banyak lagi ikhtiar untuk meneruskan perjuangan.

“Saya harap semua bertenang dan sabar. Memecat orang yang tidak bersependapat adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa. Percayalah, berkata benar itu mahal harganya,

“Dan ingatlah, jika pun mereka kini berkuasa, masih ada lebih tinggi kuasanya. Parti itu ciptaan kita manusia, ia hanya alat untuk berjuang dan ia bukan satu matlamat. Jika baik pimpinannya,maka betul dan baiklah perjuangannya,” tambahnya lagi.

Menulas lanjut, Annuar berkata, rakyat ketika ini dilihat sudah meninggalkan UMNO, jadi sudah tiba masanya untuk ahli parti untuk turut meninggalkan UMNO secara beramai-ramai.

“Dan sesiapa yang cuba berkata yang benar, itu semua akan di gelar pengkhianat. Mereka mahu semua orang berwirid dengan neratif palsu mereka,

“Jadi biarkanlah mereka dalam dunia mereka itu..rakyat sudah pun meninggalkan mereka..malah tiba masanya ahli akan turut meninggalkan nya beramai ramai,

“Berilah UMNO kepada mereka untuk mereka jadikan perisai peribadi dan perniagakan sebagai syarikat sendirian berhad mereka. Perjuangan tetap kita teruskan dengan cara kita,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply