Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Notis 4 Ahli Parlimen BERSATU Sabah kosongkan kerusi sudah dihantar – Ronald Kiandee

Notis 4 Ahli Parlimen BERSATU Sabah kosongkan kerusi sudah dihantar – Ronald Kiandee

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan 4 Ahli Parlimen Sabah yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mengosongkan kerusi.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, notis berkenaan adalah bagi memastikan ada kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang bertanding pada PRU-15 sebagai anggota BERSATU,

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ronald berkata, pada 2 November lalu, Pengerusi GRS yang juga Pengerusi BERSATU Sabah ketika itu, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengumumkan bahawa terdapat 6 calon daripada partinya akan mewakili GRS untuk bertanding PRU-15.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah pada 10 Disember telah membuat kenyataan bahawa kesemua pemimpin di Sabah keluar daripada parti itu.

“Keempat-empat Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang),

“Pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember lalu, keempat-empat Ahli Parlimen itu berada dan duduk di blok kerajaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ronald berkata, tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong BERSATU dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti,

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” tegasnya.

Tambah Ahli Parlimen Beluran itu lagi, pihaknya memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply