Home Pertahanan dan Keselamatan Sindiket bawa masuk PATI Indonesia dengan bas tumpas

Sindiket bawa masuk PATI Indonesia dengan bas tumpas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang memasuki Malaysia melalui laluan haram dalam satu operasi khas di Terminal Bas Bersepadu (TBS) Kuala Lumpur, semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 5.20 pagi itu dilakukan oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM setelah menerima maklumat awam bahawa terdapat sekumpulan 6 orang PATI akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, pasukan telah berjaya mengesan bas yang membawa sekumpulan 6 orang PATI tersebut di lebuhraya Pantai Timur dan bertindak mengekori sehingga ke TBS.

“Sebaik tiba, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas semua penumpang 2 buah bas secara berasingan,

“Hasil pemeriksaan telah menahan 5 orang lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 35 hingga 54 tahun yang memiliki cap keluar negara jiran dan cap masuk Malaysia yang disyaki palsu,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berakta, cap-cap palsu digunakan di dalam pasport milik mereka bertujuan mengaburi pihak berkuasa bahawa mereka memasuki Malaysia secara sah dan melepasi pemeriksaan imigresen di Pintu Masuk Negara.

Namun, kesemua mereka dikesan memiliki rekod senarai hitam dan dihalang dari memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan lampau.

Tambahnya, sindiket dipercayai telah mengubah modus operandi dengan membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke negara jiran untuk tujuan transit sebelum memasuki Malaysia secara tidak sah.

“Jaringan sindiket akan menyediakan pengangkutan dan lain-lain kemudahan supaya kumpulan PATI berkenaan dapat memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan,

“Seterusnya mereka akan dipindahkan dengan menaiki kenderaan ke stesen bas berhampiran untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” jelasnya.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua mereka mengaku tidak melapor untuk pemeriksaan imigresen semasa masuk ke Malaysia. Sebaliknya urusan berkaitan pasport diuruskan oleh pihak sindiket semasa mereka berada di rumah transit penampungan.

“Tujuan mereka masuk adalah untuk bekerja semula samada dengan bekas majikan atau majikan baru di sekitar Kuala Lumpur yang telah diatur awal oleh pihak sindiket,

“Kumpulan PATI ini mendakwa membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada ejen di negara asal untuk urusan pakej kemasukan ke negara ini,

Jelasnya, kesemua warganegara asing berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply