Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat UKMHK TD 2022: Trup TD1 rangkul Juara Keseluruhan Terbaik

UKMHK TD 2022: Trup TD1 rangkul Juara Keseluruhan Terbaik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pertandingan Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawad Peringkat Tentera Darat Malaysia (UKMHK TD) 2022 telah melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung semenjak 27 Oktober lalu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain telah hadir menyaksikan dan menyempurnakan upacara penutup UKMHK TD ini.

Pertandingan UKMHK ini bertujuan untuk menguji daya ketahanan mental, fizikal dan keyakinan diri anggota dan tim dari setiap formasi untuk dapat membentuk sifat kepimpinan yang terbaik.

Selain daripada itu, UKMHK ini juga menjadi platform untuk memupuk anggota lebih berkualiti serta mempertingkatkan semangat kerjasama dalam setiap lapisan dalam pasukan.

TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, pertandingan kali ini melibatkan seramai 1,230 peserta yang terdiri daripada 11 Formasi melibatkan Trup TD, Markas Pemerintahan dan Markas Formasi melalui pecahan Kategori Tempur, Bantuan Tempur, Bantuan Khidmat dan Kategori Wanita.

Terdahulu, PTD telah berkesempatan menyempurnakan pelepasan disiplin Merentas Halangan pasukan 5 Div bagi Kategori Tempur dan melihat sendiri pelaksanaan acara tersebut.

Menurut TDM, acara disiplin Kawad Kaki telah berjaya diungguli Trup TD 1 apabila dinobatkan selaku johan bagi Kategori Tempur, Kategori Bantuan Tempur dan Kategori Bantuan Khidmat.

Manakala, Johan Kategori Wanita pula dimenangi oleh Trup Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat.

“Bagi disiplin Merentas Halangan, Johan Kategori Tempur dimenangi oleh 4 Divisyen, Johan Kategori Bantuan Tempur pula dimenangi oleh Trup TD 1, dan Johan Kategori Bantuan Khidmat dimenangi oleh Trup TD 2,

Dalam majlis penutup yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Formasi 4 Divisyen telah dinobatkan sebagai Juara bagi Kategori Tempur manakala, johan bagi Kategori Bantuan Tempur pula disandang oleh Trup TD 1.

Juara bagi Kategori Bantuan Khidmat pula disandang oleh Trup TD 2 dan Johan bagi Kategori Wanita pula dimenangi oleh Pemerintahan dan Latihan Doktrin Tentera Darat.

Selain itu, Trup TD 1 sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan UKMHK TD 2022 setelah mendominasi UKMHK TD pada kali ini.

Leftenan Muhammad Afiq Najwan Abdul Halim dari Tim Bantuan Tempur Trup TD 1 (1 RAD PARA) dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik manakala, Leftenan Siti Nur Zulaikha Baharom dari Trup TD 1 (10 RAJD PARA) berjaya merangkul Ketua Platun Terbaik bagi Kategori Wanita.

Dalam ucapan penutup UKMHK, Zamrose menyatakan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah serta syabas kepada semua peserta termasuk penganjur UKMHK TD 2022.

Jelasnya, pertandingan ini bertujuaan untuk menguji tahap ketahanan mental dan fizikal sewaktu melaksanakan latihan dalam kumpulan.

“Dan yang palling utama ia membolehkan kesiagaan ketumbukan TDM berada pada tahap yang terbaik,” ujarnya.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi, Panglima-Panglima Formasi, dan Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply