PELABUHAN KLANG, 3 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong dan kru ceroboh warganegara Indonesia di perairan Tanjung Layang, Kuala Langat, pada 31 Oktober lepas.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Control Centre (ACC) Klang telah mengesan satu vesel yang mencurigakan dari perairan Indonesia bergerak memasuki perairan Malaysia.
Beliau berkata, setelah mendapat maklumat tersebut, pihaknya telah mengaturgerakkan bot ronda APMM ke lokasi bagi mengesan vesel tersebut.
“Sebaik tiba dilokasi, sebuah bot kayu berwarna merah berjalur biru dengan tanda nama SAFRI telah dikesan dalam keadaan mencurigakan bergerak menuju ke perairan tersebut,
“Setelah menyedari kehadiran penguatkuasa, bot tersebut bertindak melarikan diri bagi mengelak diperiksa dan ditahan. Bot ronda APMM seterusnya mengejar bot suspek hampir 10 minit sebelum ditahan sekitar 9.35 malam di kedudukan 0.5 batu nautika barat daya Tanjung Layang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pemeriksaan awal dilakukan mendapati bot dikendalikan seorang tekong dan 2 kru warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 47 tahun, masing-masing tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seramai 39 lelaki dan 4 perempuan berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berumur 12 tahun ditemukan sedang duduk berhimpit di atas geladak dan di bawah dek tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Berdasarkan soal siasat awal dilakukan dilokasi, difahamkan tekong sedang mencari jalan masuk terdekat bagi menurunkan kesemua PATI,
“Sindiket ini mengenakan caj sekitar RM 1,500 hingga RM 2,500 untuk membawa keluar dan masuk bagi setiap PATI bergantung kepada jarak lokasi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kesemua PATI dipercayai pernah bekerja dipelbagai sektor seperti pembersihan dan perladangan, tujuan memasuki ke Malaysia adalah untuk bekerja semula di sektor yang sama.
“Bot dan kesemua suspek ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – airtimes.my