Home Semasa Tidak berkesan dan releven, Pasukan Jihad Tangani Inflasi perlu dibubarkan – Guan Eng

Tidak berkesan dan releven, Pasukan Jihad Tangani Inflasi perlu dibubarkan – Guan Eng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk membubarkan Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi kerana ia dilihat tidak berkesan, cekap dan relevan untuk membendung kenaikan harga.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kegagalan itu dilihat susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga berturut-turut tahun ini sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus dengan tujuan utamanya untuk membendung inflasi.

“Tindakan menaikkan OPR bererti menafikan dakwaan Pengerusi Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan semakin terkawal sebagai slogan politik semata-mata yang tidak berasas,

“BNM secara tidak langsung mengenepikan usaha anti-inflasi Annuar sebagai tidak memberi sebarang kesan dengan indeks harga pengguna,

“Malah meningkat sebanyak 4.4 peratus pada Julai berbanding 3.4 peratus pada Jun 2022, bulan pertama Annuar dilantik sebagai pengerusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, memandangkan BNM kini bergantung kepada pendekatan monetari dengan menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi, maka tiada keperluan dan kepentingan untuk mengekalkan Jawatankuasa Khas Kabinet Pasukan Jihad Tangani Inflasi berkenaan.

“Jawatankuasa Khas Kabinet sebegini hanya akan berperanan sekiranya ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri,

“DAP menggesa rakyat Malaysia yang terkesan dengan kenaikan 0.75% OPR tahun ini daripada 1.75% kepada 2.5% untuk menyatakan berapa banyak jumlah tambahan yang mereka perlu bayar bagi pinjaman mereka setiap bulan.,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply