KUALA LUMPUR, 9 Sept – PETRONAS Suriname E&P B.V. (PSEPBV) hari ini mengumumkan penemuan minyak pertama di Suriname, di telaga Baja-1, Blok 53 luar pesisir negara tersebut.
Naib Presiden Cari Gali PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, telaga yang terletak kira-kira 189 kilometer (km) di luar pesisir Suriname dalam kedalaman air 1,140 meter itu berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 5,290 meter.
“PSEPBV turut menemui minyak ringan di kawasan jujukan enapan berusia Campanian dan penilaian pasca-penggurudian sedang dijalankan untuk mengesahkan potensi sumber yang ditemui,
“Penemuan di telaga Baja-1 merupakan pencapaian penting bagi PETRONAS dalam usaha membuka sumber hidrokarbon laut daripada aktivitti cari gali kami,” katanya.
Beliau berkata, PSEPBV teruja dengan kejayaan ini dan akan kekal fokus untuk mengembangkan lagi portfolio antarabangsa terutamanya di benua Amerika.
“Kejayaan ini adalah bukti gabungan kepakaran dan pengalaman semua rakan usaha sama serta akan lebih maju,” jelasnya.
PSEPBV adalah pemegang 30 peratus kepentingan penyertaan dalam blok yang dikendalikan oleh APA Suriname Corporation LDC yang mempunyai 45 peratus kepentingan, manakala CEPSA Suriname, SL memegang baki 25 peratus.
Selain itu, PSEPBV juga memegang 100 peratus kepentingan dan pengendali di Blok 48 dan terbabit dalam perkongsian 50:50 dengan ExxonMobil Exploration and Production Suriname BV di Blok 52 yang juga dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana. – airtimes.my