Home Pertahanan dan Keselamatan APMM, ABF usir 60 etnik Rohingya ceroboh perairan Malaysia

APMM, ABF usir 60 etnik Rohingya ceroboh perairan Malaysia

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 9 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 60 migran etnik Rohingya dan warga Myanmar ke Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, kesemua migran tersebut telah diusir keluar pada 1 September lalu dalam operasi REDBACK XVII yang dijalankan bermula 26 Ogos hingga 9 September 2022 di Pulau Pinang.

“Kesemua mereka dikesan cuba masuk ke negara ini pada kedudukan 3.0 batu nautika barat Sungai Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, operasi tersebut turut menahan 8 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sekitar perairan Pulau Pinang atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Sebanyak 13 bot nelayan asing Indonesia juga berjaya diusir keluar dari perairan negara dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hasil pengesanan yang dilakukan oleh pesawat APMM CL 415 MP di kedudukan kira-kira 67 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada 5 September lalu,

“Secara keseluruhannya Operasi REDBACK telah melaksanakan 178 pemeriksaan dan penggeladahan ke atas vesel-vesel di laut melibatkan 3 tangkapan serta 2 pengusiran,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi di laut itu dilaksanakan dengan melibatkan 3 aset laut dan 60 anggota operasi yang membuat rondaan rutin, pemeriksaan, pemantauan sempadan perairan serta titik panas terus.

“Operasi REDBACK ini merupakan satu inisiatif kerjasama antara APMM dan ABF di dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan,

“Operasi ini diadakan berteraskan memorandum persefahaman bersama antara Malaysia dan Australia berkaitan bantuan serta kerjasama melibatkan operasi dan penguatkuasaan maritim yang ditandatangani bersama pada 12 Julai 2011,

“Secara keseluruhannya kerjasama ini berfokus kepada persetujuan bersama dalam membanteras jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia termasuklah dadah serta aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan,” jelasnya.

Hamid berkata, sepanjang 2 minggu operasi berkenaan, APMM dan ABF telah melaksanakan program ‘community outreach’ dengan menyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat di beberapa lokasi iaitu Kuala Sungai Juru, Telok Kumbar dan Kuala Sungai Pinang.

“Di samping itu juga, mesej-mesej positif dan peringatan berkaitan jenayah rentas sempadan turut dipaparkan melalui papan tanda, kain rentang serta poster di lokasi-lokasi strategik di sekitar Pulau Pinang,

“Dalam masa sama, ABF juga melaksanakan program perkongsian ilmu kepada pegawai dan anggota APMM melalui bengkel penguatkuasaan yang dihadiri seramai 28 orang dengan turut melibatkan peserta daripada agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), TLDM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Laut Malaysia (JLM),” jelasnya lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply