Home Semasa “Henti ganggu Rafizi, rampas telefon bimbit keterlaluan”- Anwar Ibrahim

“Henti ganggu Rafizi, rampas telefon bimbit keterlaluan”- Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk segera menghentikan segala bentuk tekanan dan gangguan terhadap Timbalannya, Rafizi Ramli dalam siasatan berhubung skandal projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS).

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas telefon bimbit milik Rafizi untuk tujuan siasatan berkait kes tersebut disifatkan sebagai agak keterlaluan.

“Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun,

“Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini termasuk menyiasat Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari,

“Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Semalam, media melaporkan, pihak polis telah merampas telefon bimbit milik Rafizi untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan mengenai projek LCS membabitkan Dr Abd Latiff yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Ia selepas Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat terhadapanya.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai memaklumkan siasatan terhadap Rafizi dijalankan mengikut eksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).
Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog serta menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply