Home Politik Jangan guna kakitangan kerajaan tujuan politik – Pakatan Harapan

Jangan guna kakitangan kerajaan tujuan politik – Pakatan Harapan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menghentikan penggunaan kakitangan dan badan-badan kerajaan sebagai laskar siber Barisan Nasional (BN).

Angkatan Muda Harapan dalam kenyataan berkata, selepas kerajaan BN-UMNO tumbang pada 2018, Jemaah Menteri PH telah memutuskan untuk melarang penjawat awam daripada terlibat dalam politik bagi menjamin meraka kekal neutral dalam sebarang urus pentadbiran.

“Jika menurut peraturan 21(1), Peraturan Pegawai Awam 395/1993, Pegawai Kumpulan menyatakan larangan penglibatan dalam politik ke atas pegawai kumpulan pengurusan tertinggi dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional,

“Maka dengan itu, PH mendesak Ismail Sabri menghentikan penggunaan kakitangan dan badan-badan kerajaan sebagai laskar siber Kerajaan BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP Malaysia, Kelvin Yii Lee Wuen; Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda dan Ketua Pergerakan Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang.

Tegas mereka, Ismail Sabri seharusnya mengetahui peraturan dan menghormati serta amanah yang dipegang sebagai pemimpin kerajaan serta penjawat awam.

Menurutnya, ucapan Ismail Sabri semasa majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri yang meminta agar penjawat awam mempertahankan kerajaan Keluarga Malaysia daripada pelbagai dakwaan merupakan sikap yang tidak wajar sebagai seorang ketua kerajaan.

“Tindakan Ismail Sabri terbaharu boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa, memaksa kakitangan kerajaan untuk mempertahankan kerajaan BN perlulah ditolak dengan sekeras-kerasnya,

“Penjawat awam seharusnya berpegang pada prinsip neutral dalam memastikan penyampaian khidmat kerajaan tidak terjejas walaupun berlaku sebarang perubahan pucuk pimpinan,

“PM seharusnya sedar agar pendedahan baru-baru ini oleh syarikat teknologi Meta (sebelum ini Facebook) dalam ‘Quarterly Adversarial Threat Report’ yang mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjalankan aktiviti ‘troll farm’ di internet untuk menyebarkan berita dan tuduhan palsu,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pihaknya khuatir dengan PM yang hanya akan mengulangi sikap kerajaan BN sejak berdekad lalu yang akhirnya menggunakan kakitangan awam rapat dengan rakyat seperti FELDA, RISDA, KEMAS dan sebagainya menjadi alat propaganda. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply