KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pasukan tentera udara dari 6 buah negara termasuk Malaysia telah selesai melaksanakan latihan bersama di beberapa lokasi di Malaysia.
Latihan yang dikenali sebagai Exercise Pacific Angel 2022-2 (Eks PA22-2) melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Udara Pasifik Amerika Syarikat (U.S. Pacific Air Forces, PACAF), dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).
Bahagian Perhubungan Awam Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara Amerika Syarikat (Air Education and Training Command, AETC) dalam satu kenyataan berkata, latihan tersebut turut melibatkan kumpulan pemerhati dari Mongolia, Indonesia dan Filipina.

Exercise Pacific Angel 2022-2 merupakan latihan menyelamat libatkan angkatan udara dari 6 buah negara. Foto: Senior Airman Jessi Roth/USAF
“Latihan diadakan di Pangkalan Udara TUDM Subang dan Kuantan dengan melibatkan 370 peserta dari 6 buah negara,
“Eks PA22-2 merupakan latihan bersama peringkat tentera udara yang pertama diadakan semenjak Cope Taufan kali terakhir diadakan pada tahun 2018,” kata kenyataan itu yang disiarkan dalam portal DVIDS.
Menurut AETC, latihan yang dilaksanakan selama seminggu ini merangkumi pelbagai aktiviti termasuk latihan penerbangan, penerjunan bebas (freefall) operasi mencari dan menyelamat serta simulasi pemindahan mangsa cedera dari pesawat C-130J Super Hercules milik 374th Airlift Wing.

Peserta Eks Pacific Angel 2022-2 diberikan pendedahan cara mengendalikan mangsa bencana skala besar. Foto: Senior Airman Jessi Roth/USAF
Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Eks PA22-2 USPACAF, Leftenan Kolonel Skye Nakayama menyatakan latihan ini merupakan antara langkah untuk membina hubungan baik dengan negara rakan AS di rantau Pasifik.
“TUDM merupakan tuan rumah yang hebat dan kami akan menantikan peluang pada masa hadapan untuk belajar bersama dalam latihan sebegini,” kata Nakayama.

Perkongsian pengalaman dan kepakaran merupakan antara objektif dalam pelaksanaan Eks Pacific Angel 2022. Foto: Capt. Lauren Woods/USAF
Sementara itu, Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer Amin TUDM menyatakan latihan dan kerjasama sebegini wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Semua pihak berkerjasama di antara satu sama lain terutamanya dalam mencapai objektif latihan ini iaitu menguruskan bencana,
“Kami telah menyaksikan kejayaan yang luar biasa melalui kerjasama yang dijalin sepanjang minggu lalu. Kami tidak mahu ianya berakhir di sini. Kerjasama ini akan diteruskan pada masa hadapan,” kata Mahadzer yang dipetik oleh AETC.
Dalam kenyataan yang sama, pihak AETC turut menyatakan persiapan untuk siri Pacific Angel yang selanjutnya sedang dijalankan. Ia dijangka akan berlangsung pada pertengahan tahun 2023. – airtimes.my