JOHOR, 4 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah kelab malam dan berjaya menahan seramai 50 orang warga asing dan tempatan di Taman Bukit Indah Nusajaya, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di kelab malam itu, pihaknya telah memeriksa seramai 150 orang dan hasilnya seramai 50 orang individu yang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 35 tahun telah ditahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 43 wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Laos, 2 lelaki warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Pakistan,
“Turut ditahan 3 warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan 2 wanita yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan. Kesemua warga tempatan yang ditahan direman dibawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan,
“Kesemua wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki warga asing sebagai pekerja am di kelab malam tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi yang dijalankan oleh sepasukan 27 orang pegawai JIM dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya bermula pada jam 1.00 pagi tadi.
“Operasi ini merupakan rentetan daripada hasil maklumat soal siasat tangkapan sindiket membekal tukang urut warganegara Thailand yang ditumpaskan pada 21 Julai yang lalu,” ujarnya.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa orang wanita warga asing cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai operasi.
“Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat namun situasi berjaya dikawal serta ditenteramkan,
“Modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan ini akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki,
“Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1000 ke RM1500 satu malam,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, semakan awal mendapati wanita-wanita ini memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong, dan mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong.
“Namun begitu, kemudahan Imigresen yang diberikan ini telah disalah guna. Kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,
“Manakala 3 orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen,” katanya lagi.
Turut dirampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut. – airtimes.my