Home Semasa Muhyiddin patut bincang isu rakyat, bukan minta jawatan – Shahril

Muhyiddin patut bincang isu rakyat, bukan minta jawatan – Shahril

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi melaporkan dapatan atau cadangan dalam menangani isu rakyat.

Tetapi, menurut Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Perdana Menteri itu mengambil kesempatan untuk membincangkan mengenai lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu.

Tegasnya, perbincangan sepatutnya ditumpukan ke arah membantu meringankan beban rakyat kerana isu lantikan Kabinet bukan keutamaan pada ketika ini.

“Sepatutnya Pengerusi MPN apabila berjumpa dengan Perdana Menteri melaporkan kepada ketua kerajaan berkenaan dapatan atau cadangan MPN untuk menangani isu pemulihan,

“Tapi nampaknya Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil kesempatan untuk membincangkan isu ‘lantikan jawatan baharu’ termasuk jawatan TPM,

“Sudahlah begitu, hebahkan pula kepada umum untuk cuba beri tekanan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, Barisan Nasional (BN) baik dari dalam atau luar kerajaan akan terus memfokuskan usaha dan beri cadangan menangani isu rakyat.

“Pengerusi Perikatan Nasional (PN) barangkali lebih sibuk isu jawatan Kabinet dan memuktamadkan isu logo yang tak habis-habis dibincangkan,” bidasnya.

Pada Sabtu, Muhyiddin mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri bagi membincangkan lantikan jawatan baru termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin turut menjelaskan, beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut berlandaskan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply